Ampang - Seorang juruwang kini hidup dalam keadaan tidak tenteram setelah menerima ugutan daripada seorang lelaki yang tidak dikenalinya disebabkan keengganannya meminjamkan wang kepada seorang wanita di laman sosial Facebook.
Mangsa, Lau Wah Mun, 24, berkata, segalanya bermula 14 Oktober lalu apabila dia menerima pesanan peribadi melalui Facebook dari seorang wanita yang mahu meminjam wang sejumlah RM400.
Menurutnya, dia tidak mengenali wanita itu dan tidak sedar bila mereka menjadi rakan di laman sosial itu.
“Dia nak pinjam duit saya atas urusan penting. Tapi saya tak percaya sebab tahu ada banyak kes penipuan berlaku sekarang. Lagipun saya tak kenal dia.
“Saya tak pedulikan permintaannya dan terus muat naik status tentang perkara itu dalam Facebook. Saya beri amaran kepada kawan-kawan supaya hati-hati dengan dia.
“Esoknya, tiba-tiba saya terima pesanan suara di Facebook daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai suami wanita itu. Dia ugut nak cederakan saya sebab tak bagi wang kepada isterinya,” katanya pada sidang media bersama Timbalan Ketua Biro dan Perkhidmatan Awam, Parti Gerakan, Ben Liew Pok Boon, semalam.
Tambah Wah Mun, dia bimbang dengan keselamatan dirinya setelah lelaki berkenaan mendakwa tahu di mana tempat tinggal dan lokasi kerjanya.
“Selama ini saya hanya baca kes-kes macam ni, tapi tak sangka akan alaminya sendiri. Keselamatan saya terancam. Saya menyesal tak periksa betul-betul profil seseorang sebelum menerimanya sebagai rakan di Facebook,” katanya.
Berikutan kejadian itu, satu laporan polis di buat di Balai Polis Pandan Indah pada 15 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Ben Liew Pok Boon, berkata, Biro dan Perkhidmatan Awam telah menerima aduan lima kes penipuan melalui media sosial berkenaan pada tahun ini.
“Kami akan buat laporan kepada Facebook dalam masa sama akan buat surat kepada pihak polis agar menyiasat kes ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment