Kota Bharu - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan lebih RM22 juta bagi menggerakkan 13 badan bukan kerajaan (NGO) membantu golongan mudah miskin.
Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Halimi Abd Manaf berkata, peruntukan tersebut melibatkan pelaksanaan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan (PLKK) dikenali sebagai Azam Bandar.
“Program ini memberikan semangat kepada perubahan minda dan membentuk sikap positif golongan miskin untuk keluar daripada kemiskinan.
“Sehingga Oktober ini, seramai 2,277 peserta Azam Bandar berjaya dilatih di seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, semalam.
Majlis itu dihadiri 500 peserta NGO di bawah KPKT, Pertubuhan Kebajikan Mahabbah Malaysia (Mahabbah) diketuai Pengerusinya, Norazah Asat.
Dalam perkembangan lain, Halimi berkata, KPKT juga kini giat membangunkan sistem ‘Orang Exchange’ atau ‘Orang-E’ yang menyediakan platform pada aplikasi.
“Sistem Orang-E ini akan menjadi jaringan aplikasi yang membantu peserta membina hubungan hanya satu klik di platform KPKT sediakan dan ia dijangka siap hujung tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Norazah berkata, seramai 300 peserta di bawah Mahabbah berjaya meningkatkan pendapatan menerusi pemberian kios roda tiga di bawah program Azam Bandar.
0 comments:
Post a Comment