Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 24, 2015

BILAH KIPAS CIPTAAN ANAK TEMPATAN


Bilah kipas ciptaan anak tempatan


Paramotor merupakan antara sukan lasak udara yang menjadi kegemaran masyarakat di negara ini.

Bagaimanapun, komponen peralatan utama dalam sukan itu iaitu bilah kipas atau propeller sukar didapati jika ia rosak atau patah kerana sebelum ini barang tersebut tidak dihasilkan di Malaysia.

Jadi, penggemar sukan paramotor terpaksa menempah dan membeli bilah kipas baharu dari luar seperti Itali, United Kingdom dan Kanada yang memakan masa agak panjang serta menelan kos tinggi untuk dibawa masuk ke negara ini.

Tambahan pula, bagi mereka yang mula-mula berjinak dalam sukan ini, masalah bilah kipas patah adalah perkara biasa kerana masih tidak tahu lagi cara menyeimbangkan diri ketika bermain paramotor.

Disebabkan masalah itu, jurulatih paramotor, Mujib Ahmad Abd Rashid tampil menghasilkan propeller sendiri menggunakan kayu.

Pada awalnya, Mujib Ahmad menggunakan parang, gergaji, tukul dan sebagainya untuk menghasilkan bilah kipas itu, pada 2009.

“Saya hanya buat propeller di tepi rumah di Dengkil, Sepang secara sambilan pada asalnya. Semuanya dilakukan secara primitif. Saya boleh hasilkan satu propeller dalam tempoh masa seminggu," katanya.


Bangunkan mesin sendiri buat bilah kipas

Bagaimanapun, apabila ada rakan-rakan yang berminat menempah bilah kipas, Mujib Ahmad terpaksa memikirkan cara lain supaya propeller dapat dihasilkan dalam tempoh yang lebih cepat.

Disebabkan kekangan bajet membeli mesin sebenar, Mujib Ahmad tampil dengan mesin ciptaannya sendiri pada 2012 untuk membuat bilah kipas.

Mesin tersebut adalah mesin pembelah dan pemotong kayu, pemampat gam, pembuat propeller, alat pengimbang dan ketuhar pengering cat alas.

Menariknya, mesin yang ciptaannya itu menggunakan barangan terpakai antaranya jek kereta, besi, dapur memasak dan alat-alat mesin yang diubahsuai bagi memudahkannya untuk menghasilkan bilah kipas.

"Tiga kali saya cipta mesin untuk membuat bilah kipas ini, barulah ia benar-benar memuaskan hati. Mesin ini mampu menyiapkan dua propeller dalam sehari.

"Ia memudahkan lagi kerja-kerja saya untuk menyiapkan tempahan pelanggan," katanya.

Bukan sahaja sukan paramotor, Mujib Ahmad turut menerima tempahan bilah kipas untuk bot udara (airboat) dan pesawat kecil.

Memandangkan Mujib Ahmad adalah satu-satunya pengeluar bilah kipas di negara ini, tempahannya semakin banyak menyebabkan dia terpaksa fokus kepada pembuatan propeller sepenuh masa.

"Kerjaya saya sebagai jurulatih paramotor kini hanya sambilan saja. Apabila ada propeller dihasilkan di Malaysia, penggemar sukan paramotor semakin meningkat disebabkan kosnya lebih rendah berbanding sebelum ini.

"Saya mempunyai bengkel atau kilang mini propeller di Dengkil, Sepang dan dibantu seorang pekerja," katanya.


Utamakan keselamatan pengguna

Mujib Ahmad yang juga Pengarah Perkasa Prima Enterprise amat menitikberatkan kualiti menghasilkan bilah kipasnya kerana ia melibatkan keselamatan pengguna.

Dia menggunakan kayu tempatan atau import yang benar-benar berkualiti.

"Saya gunakan kayu kembang semangkuk, nyatoh dan rengas. Kalau kayu import, saya guna kayu seperti maple.

"Kayu ini akan dibelah separuh, sebelum diketam dan dicantumkan semula menjadi empat lapisan dengan menggunakan gam," katanya.

Kemudian, kayu itu akan diapit menggunakan mesin pemampat bagi memastikan tiada ruang-ruang kosong selepas kayu itu digamkan.

Selepas bentuk bilah kipas ditentukan, kayu tersebut mula dipotong menggunakan mesin pembentuk propeller dan permukaan yang dibentuk tadi perlu dikemaskan dengan menggunakan kertas pasir.

Bilah kipas itu akan diuji keseimbangannya dengan alat pengimbang bagi memastikan hujung sayapnya seimbang supaya mesin atau enjin paramotor atau bot udara. Jika tidak, penambahbaikan perlu dilakukan, sebelum dicat.

Selepas cat kering menggunakan ketuhar pengering cat, sekali lagi bilah kipas diuji keseimbangan dan akhir sekali, ujian kekuatan serta ketahanan dilakukan bagi memastikan ia selamat digunakan sebelum dihantar kepada pelanggan.


Tambah baik mesin

Mujib Ahmad bakal menambah baik mesin pembuat bilah kipas sedia ada supaya pengeluarannya ditingkatkan.

"Lakaran mesin baharu ini, saya sudah ada dan akan dibuat tidak lama lagi," katanya.

Bilah kipasnya dijual pada harga RM200 hingga RM700, terjual di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Setiap bulan, jualan bilah kipas saya sekitar 15 hingga 20 buah," katanya.

Selepas menyertai 2nd Asian Oceanic Paramotor Championship di Kuala Terengganu, bilah kipas Mujib Ahmad bakal ke luar negara.

"Saya menerima tempahan dari China, Kuwait, Thailand, Indonesia dan Australia," katanya.

0 comments:

share2