Petaling Jaya - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menafikan tindakannya meninggalkan Pas dan bersama PKR bukan kerana kecewa dengan parti Islam itu.
Sebaliknya, beliau mendakwa platform baharu itu mampu menjadi ruang untuknya berjuang lebih baik.
"Tidak ada (kecewa). Ramai yang tinggalkan (Pas). Cuma saya fikir, saya boleh 'perform better' di sini (PKR)," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, semalam.
Dalam sidang media tersebut, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan dua ahli Pas,Datuk Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat) dan Muhammad Taib sah menyertai PKR.
Mengulas lanjut soal 'penghijrahannya' itu, Muhammad Taib berkata, semua parti pembangkang perlu bekerjasama dan kukuh untuk menentang BN.
"Kita semua kena kerjasama. Macam di Selangor, PKR punya...ramai yang bertanding, jadi PKR kena kukuh. Mengukuhkan PKR maknanya mengukuhkan PR.
"Tapi kita perlu kepada semua...PKR, Pas, Amanah, DAP kerana kita banyak hadapi...diganggu oleh BN. Jadi, kita kena kukuh," katanya.
Sementara itu, Wan Azizah turut mengumumkan Kamaruddin dilantik sebagai Pengarah Politik dan Dasar manakala Muhammad Taib akan berperanan dalam Biro Penerangan dan Komunikasi khususnya demi mengangkat martabat masyarakat luar bandar termasuk komuniti Felda.
0 comments:
Post a Comment