Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 12, 2015

AFANDI AKAN PANGKU TUGAS PRESIDEN FAM


FAM


Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah bakal memangku jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila penyandangnya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan berkenaan secara berperingkat dalam tempoh setahun ini.

Tengku Abdullah bertitah walaupun hanya akan berundur pada 2018, tugas baginda selaku Presiden FAM akan dipikul secara berperingkat oleh Afandi serta ahli exco FAM yang lain.

"Walaupun saya tidak suka mengecewakan semua pihak yang menyeru untuk saya meletakkan jawatan serta-merta namun saya mempunyai kewajipan profesional untuk sekurang-kurangnya meletak FAM dalam kedudukan yang dihormati sebelum meninggalkan persatuan ini.

"Perkara terakhir yang saya tidak mahu adalah untuk pengganti saya mewarisi kapal yang sedang tenggelam di mana situasi itu akan menjadikan saya dilihat sebagai seorang tidak adil dan tidak profesional," titah baginda yang juga Tengku Mahkota Pahang dalam satu kenyataan semalam.

Baginda dipilih sebagai Presiden FAM yang kelapan pada Kongres Tahunan FAM Ke-50, tahun lepas.

Tengku Abdullah menegaskan keputusan meletak jawatan itu merupakan satu keputusan yang paling sukar dalam hidup baginda selaku pegawai bola sepak namun terpaksa diambil susulan prestasi hambar skuad Harimau Malaya dalam saingan kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Baginda mengakui bersikap terbuka apabila peminat bola sepak tempatan menilai kecekapan baginda dan ahli exco yang lain dalam menguruskan FAM menerusi prestasi semasa skuad Harimau Malaya.

Tengku Abdullah pada masa yang sama turut menegaskan bahawa sukan bola sepak akan sentiasa menjadi sebuah sukan yang dekat di hati baginda.

"Ia mungkin kelihatan tidak banyak sekarang, tetapi pada setahun yang singkat ini, sebagai Presiden saya telah meletakkan pelan untuk kebaikan bola sepak Malaysia, dan saya berharap satu hari nanti, kita semua akan dapat melihat hasil kerja saya," titah baginda.

Selasa lepas, Tengku Abdullah telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan secara berperingkat susulan kekalahan memalukan 10-0 Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada 3 Sept lepas. 

Baginda sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan nombor satu itu sekiranya Malaysia gagal layak beraksi ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di UAE.

0 comments:

share2