Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 4, 2015

TIGA PELAJAR SEKOLAH DIREMAN


Tiga pelajar sekolah direman


Segamat - Tiga pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini ditahan polis, kelmarin, bagi membantu siasatan kes kehilangan dan kecurian di bengkel Kemahiran Hidup sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kejadian itu disedari pengawal keselamatan sekolah ketika melakukan rondaan kira-kira pukul 7.15 pagi kelmarin, selepas melihat kesan umpil pada pintu bengkel tersebut.

“Pengawal keselamatan itu segera memaklumkan pihak sekolah dan guru yang menjaga bengkel berkenaan. Pemeriksaan awal mendapati, wang derma sekolah kira-kira RM200 yang diletakkan dalam sebuah tabung telah dilarikan.

“Satu set peralatan gerudi elektrik jenama Bosch turut dicuri selain lima telefon bimbit pelbagai jenis milik pelajar sekolah yang disimpan guru tersebut di dalam sebuah laci yang berkunci telah diumpil,” katanya.

Menurutnya, sejurus kecurian tersebut, pihak sekolah yang melakukan pemeriksaan terhadap pelajarnya menjumpai salah satu telefon bimbit yang hilang pada seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun.

Beliau berkata, pelajar perempuan itu mengaku salah seorang suspek telah memulangkan telefon bimbitnya yang dirampas pihak sekolah.

“Bertindak atas maklumat pelajar itu, suspek yang berumur 14, 16 dan 17 tahun ditahan pengawal keselamatan sekolah berkenaan kira-kira pukul 11.45 pagi sebelum menghubungi polis.

“Selain kes kehilangan di bengkel tersebut, pihak sekolah juga mendapati sejumlah wang tunai yang diletakkan di dalam bilik Pendidikan Islam juga hilang dan tidak menolak kes tersebut turut dilakukan suspek sama,” katanya.

Mohd Kamil berkata, ketiga-tiga pelajar tersebut kini direman tiga hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

0 comments:

share2