Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 4, 2015

[ROMPIN] MUIP ZIARAH 80 RUMAH ORANG ASLI


Muip ziarah 80 rumah Orang Asli


Kira-kira 80 rumah Orang Asli di Kampung Kemendul, di sini diziarahi wakil Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Cawangan Rompin dalam usaha memperkenalkan serta memberi penjelasan kepada kaum peribumi berkenaan mengenai agama Islam.

Usaha itu dilakukan melalui Program Ziarah Dakwah dan Ramah Mesra yang turun ke peringkat lapangan bertemu sendiri dengan masyarakat Orang Asli di beberapa perkampungan yang ada di sekitar Kuala Rompin.

Pegawai Hal Ehwal Islam Muip Rompin, Mohd Hafis Mohd Saad, berkata, penerimaan dan kerjasama yang diberikan masyarakat Orang Asli dan pemimpin setempat di kampung berkenaan memudahkan kerja dakwah dilakukan.

Menurutnya, walaupun kepimpinan kampung bukan dari kalangan beragama Islam tetapi mereka tidak menghalang misi kami dan itu membuktikan bahawa Islam itu boleh diterima namun mereka belum menerima hidayah untuk memeluknya.

“Program ini memudahkan urusan masyarakat Orang Asli di mana mereka tidak perlu ke pejabat Muip sebaliknya pihak Muip sendiri akan turun ke lapangan bertemu mereka bagi memberi penjelasan atau penerangan.

“Setakat ini maklum balas yang sangat baik kami terima daripada penduduk-penduduk Orang Asli dan juga memberi kerjasama serta layanan yang baik kepada petugas Muip. Bagi yang sudah memeluk Islam kelas pemantapan agama juga diadakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tujuan program tersebut adalah untuk mendekati masyarakat Orang Asli yang berminat untuk memeluk agama Islam dan mungkin berniat untuk mendalami Islam manakala wakil Muip akan memudahkan urusan atau membantu memberi penjelasan yang lebih terperinci.

“Program ziarah dan ramah mesra ini tiada tentangan oleh mana-mana pihak di peringkat kampung kerana ia juga mendapat kerjasama yang baik daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Tok Batin. Kami sangat berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan itu," katanya.

0 comments:

share2