Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 4, 2015

[KUANTAN] LELAKI DITAHAN DISYAKI CABUL GADIS


kes cabul


Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat mencabul seorang wanita di sebuah premis di Gambang, kelmarin.

Suspek berusia 38 tahun ditahan kira-kira jam 5 petang selepas mangsa yang berusia 24 tahun dan sudah berumah tangga itu membuat laporan polis berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek didakwa meraba dan memeluk mangsa sebelum melarikan diri.

Menurutnya, berang dengan perbuatan suspek itu, mangsa membuat laporan polis dan bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek di hadapan Balai Polis Jaya Gading petang tersebut.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 kanun keseksaan kerana mencabul,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki warga tempatan yang tersenarai sebagai individu dikehendaki berjaya diberkas anggota CPJ Balai Polis Jaya Gading dalam rondaan cegah di tepi jalan belakang Masjid Jaya Gading.

Suspek berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk pemeriksaan setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Abdul Aziz berkata, semakan rekod ke atas lelaki itu mendapati dia masih dikehendaki berkait satu laporan polis di Jaya Gading berhubung kes memiliki dadah di bawah Seksyen 39(A)(1) Akta dadah berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek dibawa ke balai untuk siasatan lanjut bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek bebas sebarang pengaruh dadah,” katanya.

0 comments:

share2