Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 1, 2015

RINGGIT, JANGAN JADI MAINAN POLITIK


Duit


Kejatuhan nilai ringgit sejak akhir-akhir ini diketahui kerana keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil, namun jika ia berlarutan, dikhuatiri mempunyai unsur politik, demikian menurut Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin.

Beliau berpendapat, jika nilai ringgit melebihi RM4.70 (dalam masa terdekat) berbanding 1 dolar Amerika Syarikat (ASD), ia dianggap permainan tukaran wang asing yang mempunyai unsur politik tertentu.

"Apabila berlaku, ia bukan lagi fundamental ekonomi. Ini kerana ia tercemar dengan beberapa perkara yang berlaku dalam negara kita, contohnya demonstrasi jalanan yang dilihat boleh menjejaskan nilai ringgit.

"Pelabur luar melihat insiden tersebut sebagai negatif hingga menyebabkan mereka menarik diri. Oleh itu, iklim pelaburan negara akan berubah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, keluncuran nilai ringgit berbanding ASD adalah daripada kalangan rakyat Malaysia sendiri.

"Rakyat penentu naik turun mata wang sebenarnya. Sikap segelintir masyarakat yang sering menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kerajaan hingga menjadi viral antara penyumbang orang luar semakin takut untuk melabur," katanya.

Beliau menambah, ringgit boleh semakin merudum disebabkan unsur khianat yang mahu melihat negara semakin jatuh.

"Perkara sebegini berlaku di Venezuela, Libya dan juga Iraq, di mana wujud orang upahan yang menyebabkan ketidakstabilan ekonomi, politik serta sosial di negara tersebut," katanya.

Sungguhpun ringgit tidak menentu pada waktu ini, namun Malaysia masih berada di tangga ke-12 di antara 60 negara terbaik.

Beliau juga yakin ringgit tidak akan jatuh seperti pada 1997.

"Jika ringgit mencapai RM4.70, golongan elit negara yang terdiri daripada Majlis Profesor Negara, para cendekiawan negara akan menasihatkan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak agar tidak melebihi paras tersebut," katanya.

Jelasnya, melihat kepada suasana ekonomi negara, ringgit tidak akan jatuh hingga mencapai RM5 kerana keadaan semasa lebih baik berbanding 1997 yang berlaku kemelesetan ekonomi.

"Ketika itu, ringgit jatuh sehingga RM4.70 berbanding AS$1 tetapi ringgit ditambat menjadi RM3.80. Ringgit tidak akan mencecah RM5," katanya.

Sebelum ini, ringgit jatuh berbanding ASD kepada 4.195 daripada 4.180 pada Jumaat lalu.

Amir Hussin berkata, dunia mengalami kejatuhan nilai harga petroleum dan Malaysia juga turut merasainya.

"Kita jangan mengharapkan usaha pemimpin sahaja untuk menghadapi masalah ekonomi tetapi rakyat sendiri perlu sedar untuk mengatasi masalah itu, antaranya kurangkan melancong ke luar negara dan usahawan digalakkan mengeksport serta mengurangkan aktiviti mengimport," katanya. 

Ringgit semakin pulih

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Prof Datuk Mohd Yusof Kasim berkata, ringgit dijangka kembali kepada RM3.80 atau RM4 berbanding AS$1 menjelang hujung tahun ini.

“Beberapa minggu lalu, ringgit pernah jatuh kepada RM4.29 dan kini dilihat semakin bertambah baik sebab pasaran saham sudah mula meningkat.

"Sebelum ini, punca ringgit jatuh disebabkan kerajaan China merendahkan nilai Yuan. Namun, China mengambil keputusan untuk menyuntik modal dalam pasaran sahamnya menjadikan Yuan lebih stabil," katanya.

Beliau menjangkakan, pasaran saham Malaysia juga akan stabil sedikit demi sedikit, tetapi mengambil masa disebabkan harga minyak yang masih rendah.

Bagi memulihkan nilai ringgit, katanya, Malaysia perlu menjalankan perdagangan dengan pelbagai mata wang dan tidak terlalu bergantung pada ringgit sahaja.

"Dari segi perdagangan, kita tidak menggunakan ringgit, sebaliknya menggunakan nilai mata wang tersebut. Sebagai contoh, gunakan nilai mata wang Indonesia dan India yang lebih rendah jika berdagang dengan negara itu, jadi perdagangan tidak rugi.

“Tetapi jika kita eksport barang tempatan ke luar negara, kita gunakan ASD kerana nilainya lebih tinggi dan menguntungkan," katanya.

Selain itu, beliau turut menggalakkan pengaliran tunai di dalam negara seperti menggunakan barangan tempatan mahupun melancong di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan, rakyat tidak perlu gusar dengan keadaan ekonomi memandangkan sektor minyak merupakan penyumbang ketiga tertinggi kepada jumlah pendapatan negara iaitu antara 20 hingga 25 peratus.

"Bukan tidak terkesan, tetapi ia hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan pendapatan negara. Kita masih ada sumber lain seperti sektor perkhidmatan dan pembuatan.

"Sektor perkhidmatan penyumbang paling tinggi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), diikuti pembuatan dan komoditi seperti minyak, kelapa sawit, getah serta pertanian," katanya.

0 comments:

share2