Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 22, 2015

PELAJAR PULAU PINANG JADI 'MANGSA SLOGAN' BERBEZA




Georgetown – Selepas beberapa minggu bekerja keras berlatih untuk perarakan Hari Kebangsaan 2015, beribu-ribu pelajar sekolah di Pulau Pinang ‘terperangkap’ dalam satu keadaan yang rumit.

Kerajaan Persekutuan telah mengarahkan pelajar sekolah negeri ini untuk tidak mengambil bahagian dalam perarakan kerana Pulau Pinang telah memilih temanya sendiri untuk sambutan di peringkat negeri.

Tema yang dipilih kerajaan negeri adalah Bersih, Cekap, Amanah manakala slogan Kerajaan Persekutuan adalah Sehati, Sejiwa.

Pemilihan oleh pihak Pulau Pinang itu dilihat sebagai menyokong himpunan jalanan Bersih 4 yang dirancang kumpulan propembangkang pada 29 dan 30 Ogos di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Osman Hussain mengeluarkan arahan pada Rabu, melarang sekolah di bawah Kementerian Pendidikan daripada menyertai sambutan itu, sementara menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Pendidikan.



Ketua Pesuruhjaya Pengakap negeri, Zulkafli Kamaruddin kecewa dengan arahan itu tetapi berkata, badan beruniform itu terpaksa menghormati keputusan yang dibuat.

“Ia akan jadi satu pengalaman baik untuk ahli kita. Kita ada seramai 12,000 ahli pengakap sekolah,” katanya yang juga Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Pulau Pinang sambil menggesa kerajaan negeri untuk gugurkan slogan mereka.

“Walaupun ‘Bersih’ mempunyai maksud yang baik, ia kebetulan mempunyai konotasi politik negatif di Malaysia buat masa ini dan kita tidak mahu pengakap didedahkan dengan perkara ini,” katanya.

Pengarah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Chow Thian Pow berkata kerajaan negeri masih belum menghantar jemputan rasmi untuk menyertai perarakan.

Tetapi kerana arahan itu, persatuan perlu mendapatkan bantuan sukarelawan yang mempunyai sikap berkecuali untuk membentuk kontinjen mereka,” kata beliau.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy berkata pelajar dari 17 buah sekolah akan terjejas dengan arahan tersebut dan berkata tema itu telah diputuskan pada mesyuarat exco minggu lepas.

“Tolong jangan samakan slogan itu dengan Bersih 4. Bagi tempoh tujuh tahun lalu, kerajaan mempunyai tema yang berbeza dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar, Jumaat.

Walau bagaimanapun, pemeriksaan semakan rujukan di Internet menunjukkan bahawa kerajaan negeri hanya mula mempunyai tema Hari Kebangsaan tersendiri sejak 2012.

Ia berlaku apabila Kerajaan Persekutuan memilih Janji Ditepati sebagai slogan pada 2009 manakala tema Sebangsa, Senegara, Sejiwa menjadi slogan alternatif oleh Pakatan Rakyat.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang dalam rangka lawatan kerja ke Hong Kong, menghantar mesej teks pada Jumaat menyatakan bahawa kerajaan akan berpegang kepada slogan Bersih, Cekap, Amanah.

“Setiausaha Kerajaan negeri akan memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan. Jika mereka masih mengharamkan, kami akan meneruskan,” katanya melalui SMS.

Di Kedah, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata arahan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang akan kekal dan hanya satu tema boleh digunakan di seluruh negara untuk sambutan Hari Kebangsaan 2015.

“Kita adalah rakyat Malaysia. Kita tidak boleh bertelagah mengenai perkara ini. Mengikuti tema negara adalah yang terbaik,” katanya kepada pemberita di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap.

Sementara itu, beberapa pengetua sekolah berkata kumpulan pancaragam perarakan mereka masih mengadakan latihan.

“Trofi perarakan kemerdekaan untuk pancaragam terbaik sekolah-sekolah telah wujud selama hampir 10 tahun dan kami mahu memenanginya,” kata seorang pengetua, tanpa mahu dikenali.

Seorang lagi yang turut meminta untuk tidak disebutkan namanya, melahirkan keraguan jika ibu bapa akan membenarkan anak-anak mereka untuk mengambil bahagian kerana sambutan itu telah dipolitikkan.

Tahun lepas perarakan di Pulau Pinang telah dicemari apabila lebih dari 150 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang telah ditangkap dan organisasi keselamatan itu diisytiharkan tidak sah.

0 comments:

share2