Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 22, 2015

[KUANTAN] JBPM TERIMA PENAMBAHAN ASET


JBPM terima penambahan aset


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima beberapa penambahan aset baharu tahun ini yang akan diterima secara berperingkat.

Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, antara aset yang diperoleh termasuk lori satu tan untuk setiap balai, pam berkuasa tinggi dan kenderaan water tanker berkapasiti 20,000 liter.

Menurutnya, selain itu, pihaknya juga turut menerima beberapa peralatan lain bagi meningkatkan keupayaan operasi menyelamat termasuk sebagai persediaan menghadapi musim banjir penghujung tahun ini.

“Pada masa yang sama, kita juga sudah mengenal pasti kerosakan-kerosakan aset menyelamat sedia ada untuk diselenggara dan dibaiki secara berperingkat.

“Kita akan pastikan semua aset tersebut berada dalam keadaan sempurna dan boleh digunakan bila-bila masa,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Bendera Kontinjen Pahang ke Pertandingan Kawad Kecekapan (PKK) serta Jamuan Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota di sini, kelmarin.

Abdul Wahab berkata, segala aset yang dimiliki jabatan itu tidak hanya untuk kegunaan ketika kecemasan atau tugas-tugas penyelamatan sahaja sebaliknya, kelengkapan itu akan dibawa dan digunakan untuk kemudahan masyarakat yang memerlukan terutama ketika dan selepas sesuatu bencana.

Beliau berkata, bagi menghadapi musim banjir penghujung tahun ini, JBPM Pahang di seluruh daerah akan memulakan latihan lebih awak sebagai persediaan.

“Kita merancang untuk mengadakan aktiviti latihan melibatkan operasi menyelamat di dalam air, pengendalian bot dan kelengkapan menyelamat sama ada secara dalaman atau bersama agensi penyelamat yang lain mengikut daerah” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menaruh harapan tinggi kepada pasukan kontinjen Pahang untuk mencipta lebih banyak kejayaan dalam Pertandingan Kawad Kecekapan (PKK) di Pulau Pinang 15 hingga 20 Ogos ini.

“Kita meletakkan harapan tinggi kepada 45 peserta mewakili JBPM Pahang yang akan merebut kejuaraan dalam kesemua 10 acara yang dipertandingkan,” katanya.

0 comments:

share2