Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 20, 2015

[KUANTAN] TIGA KELONGSONG PELURU DITEMUI DI LOKASI KEJADIAN


Tiga kelongsong peluru ditemui di lokasi kejadian


Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini dimaklumkan terdapat tiga kelongsong peluru dan tiga anak peluru ditemui di lokasi kejadian pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Raffli Abd Malek dua tahun lalu.

Penemuan itu didedahkan Pegawai unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Baharin Salleh yang tampil memberikan keterangan pada perbicaraan kes ketua kumpulan ajaran sesat, Harun Mat Saat dan empat pengikutnya terhadap pertuduhan membunuh Ahmad Raffli.

Saksi pendakwaan ke-18 itu memberitahu, beliau dimaklumkan berhubung kejadian oleh pegawai penyiasat yang bertugas, Asisten Superintendan Zukri Muhammad.

“Sebaik saya tiba di tempat kejadian mendapati, seorang lelaki berbangsa Melayu terbaring di kawasan tempat letak kereta di hadapan rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di sekitar kawasan membawa kepada penemuan tiga kelongsong peluru, tiga anak peluru serta beberapa kesan darah di bahagian lantai dan pada badan mangsa,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Menurutnya, penemuan tiga kelongsong peluru itu masing-masing di bucu lubang parit hadapan rumah, di rel besi pagar dan di bahagian kiri kawasan tempat letak kereta manakala tiga anak peluru juga dijumpai di kawasan tersebut.

“Saya mengambil bahan bukti tersebut dan menyimpannya di dalam kotak khas manakala calitan kesan darah yang diambil pada lantai dan tubuh mangsa diletakkan di dalam plastik sebelum diserahkan kepada Asisten Superitendan Zukri,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahah Mohd Suah.

Harun, 49, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 32, pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 39, dan tiga pengikut iaitu Jefferi Safar, 38, Sumustapha Suradi, 40, serta Shamsinar Abdul Halim, 38, bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju antara mereka membunuh AhmadRaffli.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, di sini, jam 1.50 petang, 10 November 2013.

Sementara Shamsinar bersama Sumustapha dan seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Ahmad Raffli pada tarikh, tempat dan masa sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 dan 120B (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khalmizah Salleh dan Nor Azizah Mohamad.

Semua tertuduh diwakili peguam, Hermes Putra Media Ibrahim manakala Shaizral Eddie Nizam diwakili dua lagi peguam, Mohammad Naim Mahmud dan Hazizah Kassim.

0 comments:

share2