Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 11, 2015

'SAYA SANGAT RINDUKAN AYAH SAYA'


mh17


Sepang - Waris mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai tahun lepas mahu melihat keadilan selayaknya ditegakkan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Dr Hanapi Mohd Nor, 67, bapa kepada pembantu juruterbang pesawat MH17, Ahmad Hakimi berkata sekalipun seluruh keluarganya reda dengan apa yang terjadi, namun mereka berharap semua mangsa mendapat keadilan selayaknya.

"Harapan cukup besar buat kami untuk keadilan berlaku dan terserlah demi kebaikan bersama agar jelas punca (kejadian itu). Itu yang perlu dicari dan kenal pasti", katanya.

Dr Hanapi adalah antara waris dan anggota keluarga yang hadir ke upacara memperingati tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh di Ukraine, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, termasuk 43 rakyat Malaysia.

"Walaupun dilanda dengan tragedi besar, namun kehidupan harus diteruskan dan dipenuhi dengan harapan berserta keinsafan," kata Dr Hanapi yang ditemui selepas upacara itu.

Clement Anthony Samy iaitu abang kepada Mabel Anthony Samy berkata beliau yakin kerajaan akan dapat mencari kebenaran dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Insiden MH17 bukan setakat meragut nyawa Mabel, tetapi suaminya Paul Sivagnanam dan anak pasangan itu Mathew Sivagnanam.

Clement juga merakamkan terima kasih kepada pihak MAS kerana mengambil berat tentang keadaan semasa waris penumpang dan sering menghantar sebarang maklumat terkini tentang nahas itu menerusi e-mel.

Mariyam Yusoff isteri kepada juruterbang Kapten Wan Amran Hussin yang terkorban berkata upacara memperingati tragedi MH17 yang diadakan hari ini cukup bermakna kerana memberi keyakinan kepada semua waris bahawa Malaysia komited untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan bagi kesemua mangsa.

"Selama ini kita tak pasti apa perkembangan siasatan, tapi bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Tun Razak) bagi jaminan kerajaan tidak akan berhenti, ia beri kelegaan kepada waris," katanya.

Mariyam yang hadir ke upacara itu ditemani dua anak iaitu Wan Yunus Uzair, 12, dan Wan Yusuf Ifran,10, juga berkata mereka sekeluarga akan ke Amsterdam, Belanda untuk menghadiri sambutan setahun tragedi MH17 di negara itu pada 17 Julai.

Wan Yunus yang ditemui mengakui teramat rindu terhadap arwah ayahnya lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Saya sangat rindukan ayah saya," katanya, sambil menambah akan membaca al-Fatihah untuk disedekahkan kepada Wan Amran setiap kali timbul rasa rindunya.

Pada upacara itu, Perdana Menteri memberi jaminan Malaysia komited memberi kerjasama penuh dalam siasatan bagi mendapatkan kebenaran dan keadilan terhadap insiden malang itu lebih-lebih lagi kepada anggota keluarga dan rakan taulan penumpang, anak kapal MH17.

"Justeru, kepada keluarga mangsa tragedi MH17, usahlah merasa bimbang, kerana selagi jawapan belum ketemu, selagi itulah kita tidak berhenti mencari kebenarannya. Sesusah dan sepayah mana pun, keadilan yang dituntut, pasti akan kita kembalikan kepada keluarga dan rakan taulan mangsa," kata Najib.

0 comments:

share2