Ketika pembangkang sibuk memburuk-burukkan kepimpinan negara susulan pendedahan sebuah akhbar asing yang terbukti amat diragui kesahihannya dan didalangi Zionis, rumah tangga mereka sendiri teruk berantakan.
Terbaharu pada Sabtu, semasa seluruh negara bertumpu ke KLIA bagi memperingati ulang tahun pertama tragedi MH17, pakatan tiga parti anti-BN itu nampaknya semakin sah bercerai berai dan tidak dapat diselamatkan lagi.
Tanpa hujan atau ribut, Setiausaha Majlis Syura Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh secara rasmi mengumumkan usul dibawa Dewan Ulama Pas ketika muktamar lebih sebulan lalu di Kuala Selangor diluluskan.
Ia sekali gus bakal memberi gambaran Pakatan Rakyat yang dibentuk pada 2008 lalu memang sah dibubarkan seperti mana diumumkan DAP secara sebelah pihak dua hari sebelum ketibaan Ramadan pada bulan lalu.
Malah pemimpin DAP, Lim Guan Eng akhir bulan lalu turut minta masyarakat menyebut rujukan pemerintahan politik di Pulau Mutiara bukan lagi sebagai Kerajaan Pakatan Rakyat, sebaliknya Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Namun, ketika ada segelintir pemimpin pembangkang masih berdolak-dalik mendakwa Pakatan Rakyat masih lagi wujud, pertemuan ramai tokoh DAP Selangor dengan Menteri Besar negeri itu, Azmin Ali mencetuskan spekulasi.
Perjumpaan antara abang selebriti Azwan Ali itu berakhir dengan kegagalan apabila pemimpin PKR tersebut enggan memenuhi tuntutan DAP agar Pas disingkirkan daripada pemerintahan kerajaan negeri Selangor.
Lucunya Azmin bertegas mendakwa PKR mahu Pas kekal di negeri itu, ketika DAP dan Pas pula memutuskan hubungan dua hala masing-masing yang sekali gus ‘memeningkan kepala’ Timbalan Presiden PKR berkenaan.
Secara tidak langsung, pakatan tiga parti itu hakikatnya bersandiwara di depan rakyat konon masih bekerjasama dari segi politik, walhal mereka nyata tidak sepakat dengan dua parti utama tergamak bercerai sesama sendiri.
Jika kenyataan terbaharu Pas itu adalah sahih, Azmin sewajarnya membubarkan sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendapatkan mandat baharu kerana ini bermakna kedudukan kerusi adalah sama-sama seimbang.
Logiknya, DAP tetap bersama PKR dan ini bererti Kerajaan Selangor ada 28 kerusi (15 DAP + 13 PKR) sama banyak dengan lawannya jika 15 ADUN Pas bergabung dengan 12 ADUN BN dan wakil tunggal Bebas.
Adalah tidak masuk akal boleh ada kerajaan yang kedudukan kerusi sama banyak dengan pembangkang dan jika ini berlaku di Parlimen Malaysia, mahunya pihak pembangkang kecoh buat usul undi tidak percaya kepada BN.
Tetapi anehnya ini tidak berlaku di DUN Selangor dan lebih parah, wakil DAP yang menjadi Speaker sebenarnya tidak boleh mengundi apa-apa usul, sekali gus kerajaan negeri Selangor secara teknikal hanya ada 27 wakil.
Di sinilah terserlah permainan licik politik pembangkang apabila Azmin enggan mendakwa pihaknya tumbang sebaliknya berhujah dolak-dalik konon Pas sokong PKR dan DAP juga sokong PKR, maka PKR tiada masalah.
Apa yang disembunyikan Azmin, Pas bercerai dengan DAP dan DAP pun bercerai dengan Pas, maka siapa pula membentuk mandat kerajaan negeri Selangor apabila DAP dan Pas masing-masing sudah bercerai sesama sendiri.
Hakikannya jika Azmin jujur, lebih baik beliau nasihatkan Sultan agar dibubarkan DUN untuk diadakan satu pilihan raya negeri kerana kedudukan kerajaan negeri itu jelas caca-marba dan dua parti tidak sepakat lagi.
Tetapi apa yang pelik, bagi mengalihkan perhatian masyarakat, PKR pula riuh bising mendakwa Parlimen Malaysia tidak sah dan perlu diadakan semula pilihan raya umum yang baharu konon BN sudah hilang mandat.
Nyatalah politik jahat PKR kerana ahli-ahli parlimen BN masih membentuk majoriti, bukan beza terlebih satu atau dua kerusi macam DUN Selangor, malah Pas pula dijangka hilang ramai lagi wakil mereka di Dewan Rakyat.
Ini berikutan kemunculan parti Islam baharu serpihan Pas dikenali sebagai Democratic Islamic Parti (DIP) yang disertai lebih sedozen calon-calon bukan ulama yang tewas teruk pada pemilihan sempena muktamar Pas lalu.
Persoalannya beranikah Azmin yang belum cukup setahun menerajui Selangor sanggup berdepan dengan rakyat menerusi pilihan raya negeri ekoran kemelut kronik hubungan Pas-DAP yang tidak boleh dipulihkan lagi.
Setakat ini beliau cuma mampu buat bodoh kerana jika diadakan pilihan raya negeri, tidak mustahil mereka akan tumbang susulan banyak isu domestik melanda Selangor yang gagal ditangani sehingga kini.
0 comments:
Post a Comment