Shah Alam - Pas Selangor bukan berniat untuk menghalau ahli Pas yang ingin menyertai parti baru tetapi hanyalah merupakan persiapan awal.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, parti mengambil tindakan tersebut hanya sekadar membuat persiapan awal sekiranya berlaku kekosongan jawatan.
"Pentadbiran dan perjalanan parti mesti diteruskan. Oleh yang demikian, parti perlu membuat persiapan awal jika terdapat mereka yang memegang apa-apa jawatan berhasrat untuk menyertai atau menubuhkan parti baru,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Setiausaha Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman pada 13 Julai lalu tentang pengguguran keahlian Pas bagi mereka yang menyertai parti baru.
Katanya lagi, pihaknya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai dan bergiat aktif di dalam Pas malah masyarakat bukan Islam juga boleh menyertai Pas melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas.
Ujar beliau, parti juga akan berusaha sedaya upaya agar ahli-ahli kekal di dalam Pas. Tetapi jika terdapat mereka yang bersungguh-sungguh mahu menyertai parti baru, parti akan menghormati pendirian mereka.
"Bagaimanapun, jika mereka seorang pemimpin, mereka juga perlu menghormati ahli-ahli dengan tidak membiarkan ahli-ahli tertunggu-tunggu.
“Satu keputusan perlu dibuat dengan segera untuk kebaikan kedua-dua pihak," katanya
0 comments:
Post a Comment