Tumpat – Sekumpulan penyeludup sanggup mengheret lembu seludup menyeberangi Sungai Golok untuk membawa masuk lembu ke negara ini yang mendapat permintaan tinggi menjelang Aidilfitri ini.
Namun tindakan mereka dihalang oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor apabila 10 ekor lembu bernilai RM100,000 berjaya dirampas.
Lembu jenis Limosin dirampas di kampung Atas Kok kira-kira jam 5 pagi semalam.
Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superitendan Mohd Nawi Yunus berkata, dalam kejadian itu, penyeludup menambat lembu yang berjaya menyeberangi Sungai Golok itu di satu kawasan semak.
Menurutnya, bagaimana pun sebaik serbuan dilakukan, penyeludup itu melarikan diri dan meninggalkan lembu-lembu tersebut.
“Pemeriksaan lanjut menemui 10 ekor lembu jantan jenis Limosin seberat hampir dua tan yang ditinggalkan di kawasan tersebut,” katanya.
Mohd Nawi berkata, keadaan lembu itu yang masih basah dan berlumpur dipercayai telah diseludup masuk ke Malaysia dari negara jiran itu.
“Kes akan dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment