Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menafikan khabar angin kononnya, Azman Ibrahim ‘diarahkan’ meletak jawatan selaku pengurus The Red Warriors.
Naib Presidennya, Datuk Rosmadi Ismail berkata, pihaknya memandangkan serius spekulasi liar itu ketika pasukannya berdepan prestasi yo-yo dan berusaha untuk keluar dari zon penyingkiran, ketika ini.
“Saya tak tahu sumber itu mendapat maklumat dari mana kerana mesyuarat ahli majlis pun tak ada dibincangkan. Malah perbualan lisan saya dengan Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) pun, beliau kata tak ada (arahan letak jawatan).
“Saya tak tahu nak komen macam mana. Bagi saya, tidak ada arahan menyatakan Azman diarahkan atau didesak untuk letak jawatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Skim Insentif kepada atlet di Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, di Kota Bharu, semalam.
Sinar Harian dua hari lalu melaporkan satu sumber yang enggan dikenali mendedahkan, Azman diarahkan berundur daripada jawatan itu selepas pertemuan Kelantan menentang Polis Diraja Malaysia (PRDM) dalam aksi Liga Super, minggu lalu.
Bagaimanapun, ketika ditanya masa depan Azman bersama pasukan itu, Rosmadi mengakui dia tidak boleh memberi jaminan bahawa pengurus berusia 55 tahun itu akan kekal menyandang jawatan tersebut.
“Saya tak boleh beri jaminan kerana semua keputusan biasanya dibuat oleh ahli majlis. Setakat ini tak ada (mesyuarat) tarikh lagi, mungkin akan dibincangkan atas topik khabar anginlah kalau betul-betul hendak tamatkan khidmatnya.
“Apa jua keputusan (mesyuarat) selepas ini, itu saya tak boleh pengaruhi. Saya hanya naib presiden dan ramai lagi ahli majlis boleh beri pandangan berhubung perkara ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rosmadi memberitahu, pihaknya belum membuat keputusan untuk melantik jurulatih baharu bagi mengemudi pasukan itu mengharungi baki saingan liga musim ini.
“Setakat ini tak ada, kali terakhir saya bercakap dengan Presiden Kafa, beliau beritahu kita teruskan dengan Zahasmi (Ismail) untuk kendalikan pasukan ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment