Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 2, 2015

KUANTAN: TIADA KES KERACUNAN MAKANAN


Tiada kes keracunan makanan

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesahkan sehingga kini tidak menerima sebarang kes keracunan yang berpunca daripada penjualan makanan di bazar Ramadan seluruh Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, trend keracunan makanan yang berlaku di Pahang tidak berada di tahap yang serius.

“Trend keracunan kemungkinan pada bulan Ramadan memang ada namun yang menerima rawatan pada bulan puasa ini berpunca daripada penyediaan makanan di asrama atau penganjuran majlis berbuka puasa.

“Berbanding tahun lepas kami ada juga menerima laporan keracunan makanan di bazar Ramadan yang mana terdapat satu kes di Bera.

“Namun sehingga setakat ini, keracunan makanan daripada penjualan makanan di bazar Ramadan seluruh Pahang yang berdaftar di bawah Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan masih berada di tahap yang baik dan memuaskan," katanya.

Beliau berkata dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan 2015, Peringkat Negeri Pahang, di Bazar Ramadan Mahkota Square, Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, di sini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Zainal Ariffin Omar dan Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Negeri Pahang, Mohammad Jefri Crossley.

Dalam pada itu, katanya, pemantauan daripada JKNP tidak hanya tertumpu pada pemeriksaan di premis jualan bazar Ramadan sahaja namun turut melibatkan premis pembekal bahan mentah, premis penyediaan makanan dan premis pembekal ais yang beroperasi sepanjang bulan ini.

“Penekanan tentang tahap kebersihan dan keselamatan begitu dititikberatkan kepada semua peniaga bazar memandangkan pada bulan Ramadan penjualannya agak luar biasa berbanding hari biasa.

“Tidak semua peniaga di bulan Ramadan adalah betul-betul peniaga makanan malahan ada di antara mereka berniaga secara bermusim sahaja jadi banyak perkara yang mereka perlu ketahui memandangkan trend keracunan yang semakin meningkat ini telah menjadikan orang awam semakin peka dalam urusan pembelian makanan,” katanya.

Sementara itu, Zainal berkata, sebanyak 67 premis pembekal bahan mentah termasuk ayam, daging, ikan, sayuran, buah-buahan dan barangan runcit telah diperiksa tahap kebersihannya di seluruh negeri Pahang.

“Di samping itu, sebanyak 14 buah premis pembekal ais dab 100 premis perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga telah diperiksa sekali gus menjalankan lebih kurang 22 sesi taklimat sebelum bermula Ramadan tentang kebersihan dan keselamatan makanan secara berperingkat,” katanya.

0 comments:

share2