Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 2, 2015

LPT2 IBARAT LEBUH RAYA MAUT


LPT2 ibarat lebuh raya maut


Dungun - Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT 2) yang dibina sememangnya menjadi satu kemudahan kepada pengguna jalan raya tetapi kini lebuh raya itu digelar 'lebuh raya maut' berikutan banyak kes kemalangan dilaporkan sejak ianya dibuka.

Dalam sebulan pasti berlaku satu kemalangan bermula susur masuk Paka sehinggalah ke Kuala Dungun dan Bukit Besi serta seterusnya menuju Ajil, sama ada meragut nyawa atau tidak.

Rata-rata penduduk sekitar mengakui LPT2 memudahkan perjalanan mereka, tetapi bimbang dengan statistik kemalangan yang tinggi walaupun baru tujuh bulan digunakan.

Seorang pengawal keselamatan, Awang Long Mohd Yusof, 40, berkata, sepanjang dia bekerja di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Besi, memang banyak kemalangan yang berlaku di lebuh raya itu.

Malah beliau mengakui pernah menyaksikan sendiri kemalangan yang berlaku di hadapan matanya.

Menurutnya, pelbagai sebab diandaikan menjadi punca kepada kemalangan itu termasuk sikap pemandu dan struktur jalan.

“Kalau diperhatikan, kita boleh nampak keadaan jalan raya di LPT 2 ni tak berapa elok dan tidak rata.

“Apabila hujan, air menyebabkan jalan licin dan air bertakung di beberapa lokasi," katanya.

Menurutnya, kadang-kadang haiwan ternakan seperti lembu sering berada di kawasan jalan dan dibiarkan berkeliaran.

“Apabila fikirkan banyak benar kemalangan di sini, saya nak pergi kerja pun takut guna LPT2 tapi terpaksa kerana saya cari rezeki di sini,” katanya.

Menurutnya, unsur mistik juga banyak diperkatakan penduduk yang mendakwa turut menjadi penyumbang kepada kemalangan maut.

“Memanglah ada dengar orang bercerita perkara mistik yang jadi punca kemalangan tetapi saya tak tahulah betul ke tidak.

“Ada pengguna sering pandu laju dan ia memanglah sangat berbahaya bukan saja kepada diri sendiri, malah juga orang lain," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat mengkaji semula struktur jalan raya dan menambah baik supaya kejadian kemalangan dapat dikurangkan.

Penduduk, Aida Rudiana Ismail, 34, pula berkata, kebanyakan kemalangan maut yang berlaku adalah melibatkan orang luar dan mungkin mereka masih tidak mengetahui selok-belok keadaan jalan di situ.

“Boleh dikatakan saban minggu ada saja kemalangan. Ada yang maut dan ada juga yang hanya cedera ringan. Sedikit sebanyak masalah ini membuatkan kita yang tinggal di kawasan sekitar bimbang," katanya.

0 comments:

share2