Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 1, 2015

RAUB : BAKAL PENGELUAR COKLAT NEGARA

Raub bakal pengeluar coklat negara




Menerusi pembinaan kilang coklat, ia dijangka dapat meningkatkan lagi industri koko di daerah ini yang sememangnya terkenal di seluruh dunia sekali gus bakal menjadikan Raub terkenal sebagai pengeluar coklat di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Abd Moin berkata, dengan kualiti koko terbaik dan terkenal di seluruh dunia yang dihasilkan daerah ini sejak 20 tahun lalu ia mampu memberi kekuatan kepada perkembangan industri coklat di daerah ini.

“Kegemilangan industri koko di daerah ini sejak sekian lama sememangnya telah menjadi sebutan termasuklah di luar negara yang mengiktiraf koko di daerah ini sebagai antara koko yang mempunyai kualiti terbaik.

“Jadi saya berharap kita bukan sahaja menjual koko tetapi melangkah ke hadapan melakukan nilai tambah dengan memproses sendiri koko menjadi coklat untuk dipasarkan sehingga ke luar negara,” katanya menyempurnakan majlis sambutan ulang tahun ke-20 Persatuan Pengusaha Tanaman Industri Daerah Raub di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Unit Pemindahan Teknologi dan Pengembangan Lembaga Koko Malaysia, Raize Shah Hussain; Pengerusi Persatuan Pengusaha Tanaman Industri Raub, Kok Kuan Heng dan Pengasas Persatuan Pengusaha Tanaman Industri Raub, Kok Ah Kau.

Menurut Shahiruddin, nilai tambah dalam industri koko di daerah itu bukan sahaja mampu memberi pendapatan lumayan kepada penduduk setempat tetapi melonjakkan lagi kemajuan daerah tersebut.

Justeru, beliau berharap semua pihak dan agensi terbabit akan bekerjasama dan berbincang bagi memajukan lagi industri itu ke tahap yang tertinggi.

Dalam pada itu, Raize Shah berkata, pada masa ini Pahang yang mempunyai kira-kira 2,500 hektar kawasan tanaman koko mampu menghasilkan kira-kira 2,500 tan koko setahun.

Katanya, daripada jumlah itu daerah Raub sahaja menghasilkan kira-kira 1,000 tan koko setahun dengan keluasan kawasan tanaman koko terbesar iaitu 1,000 hektar. 

“Jadi dengan potensi yang ada di negeri ini khususnya di Raub, industri koko dengan nilai tambah yang dilakukan mampu beri kesan signifikan kepada penduduk setempat dan negeri. 

"Malah dengan trend peningkatan harga koko yang menyaksikan harga jualan kini mencecah RM8 sekilo, saya percaya petani akan kembali berminat kepada penanaman koko,” katanya.

Sementara itu, Ah Kau berkata, petani koko di daerah ini menyambut baik cadangan pembinaan kilang coklat yang dilihat mampu meningkatkan pendapatan petani.

Beliau berharap usaha tersebut segera dilaksanakan.



0 comments:

share2