Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 1, 2015

TEMERLOH : TANGGUH OPERASI PASAR MALAM

Tangguh operasi pasar malam




Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) terpaksa menghentikan operasi pasar malam Temerloh Jaya berikutan wabak denggi yang melanda tiga lokaliti di daerah Temerloh sejak pertengahan bulan ini.

Yang Dipertua MPT, Datuk Syed Mohd Nor Syed Jaafar berkata, notis bagi penutupan sementara pasar malam itu juga telah diedar kepada peniaga untuk satu tempoh sehingga diberitahu kelak.

Menurutnya, MPT mendengar pandangan dan nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah mengenai keperluan untuk menghentikan sementara operasi pasar malam itu bagi mengurangkan risiko wabak demam denggi.

“Seperti yang ramai pihak maklum, gejala demam denggi sedang melanda Taman Temerloh Jaya 2 dan 9 serta di Taman Seri Tualang.

“Selepas mengambil kira nasihat dan pandangan pejabat kesihatan maka operasi pasar malam ini terpaksa ditutup buat sementara waktu,” katanya melalui satu kenyataan.

Pada 28 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan wabak denggi kini melanda tiga lokaliti iaitu membabitkan tiga kawasan perumahan dengan 10 kes dicatatkan termasuk satu kes kematian berkemungkinan berpunca daripada penyakit yang membawa maut itu.

Pegawai Kesihatan Daerah Dr Azuwa Arif berkata, Jabatan Kesihatan negeri Pahang masih belum dapat memastikan punca kematian mangsa seorang pelajar berumur 16 tahun yang tinggal di Taman Temerloh Jaya itu dan keputusan mengenainya hanya boleh disahkan selepas selesai siasatan.

Menurutnya, sehingga 26 Mei lalu sebanyak dua kes demam denggi dicatatkan di Taman Temerloh Jaya 9, lima kes dicatatkan di Taman Temerloh Jaya 2 dan tiga kes dicatatkan di Taman Tualang Indah, Mentakab.

“Walaupun wabak denggi ini masih berlaku tetapi keadaannya terkawal dan pada masa sama Jabatan Kesihatan telah mengambil langkah sewajarnya di tiga lokaliti tersebut,” katanya, semalam.



0 comments:

share2