Shah Alam - Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas diingatkan supaya tidak bersikap 'keras' terhadap kepimpinan Kerajaan Persekutuan hanya kerana mempertahankan kelangsungan politik parti pembangkang itu ketika negara dilanda bencana.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata Pas sewajarnya membalas kebaikan kerajaan Pusat dengan bekerjasama lebih erat untuk memastikan negeri itu pulih selepas hampir lumpuh dilanda banjir.
"Sebab itu Pas perlu membalas perkara ini dengan cara yang betul dalam isu menyentuh soal agama, bangsa dan negara pada masa akan datang.
"Jangan kita mengambil sikap yang begitu keras demi survival politik, dalam soal ini kita tidak mahu berpolitik sangat, masa ini bukan sesuai untuk berpolitik," kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) itu kepada Sinar Online, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan cepat kerajaan pusat yang pantas menggerakkan misi bantuan dan menyelamat mangsa banjir di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang sejak pertengahan Disember tahun lepas.
Beliau berkata lagi, bencana alam tersebut dipercayai akan mengubah persepsi rakyat khususnya penyokong pembangkang terhadap BN susulan bantuan dihulurkan tanpa mengira fahaman politik.
"Ya, saya percaya natijah daripada banjir besar ini, perasaan dan cara berfikir tindak tanduk masyarakat Melayu terutama di negeri-negeri terjejas teruk banjir itu akan berubah.
"Natijahnya akan melihat satu perubahan dari segi sudut pandang, perasaan dan tindak tanduk bahawa kita di Malaysia ini bersaudara.
"Persaudaraan itu perlu kita pertahankan untuk kepentingan bangsa, agama dan negara," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment