Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 4, 2015

VIDEO MURID TAHUN 6 DIBULI JADI VIRAL


Video memaparkan seorang murid sekolah dibuli kini menjadi viral di laman sosial.



Alor Setar - Satu rakaman video memaparkan seorang murid sekolah dibuli kini menjadi viral di laman sosial sejak hari ini.

Video berdurasi 1 minit 51 saat itu mencetuskan kegusaran dan kemarahan orang ramai.

Difahamkan, kes itu berlaku di sebuah sekolah kebangsaan dekat pusat bandar, di sini, pada September tahun lalu.

Video itu bermula dengan beberapa murid berusia 12 tahun bertindak menendang pada bahagian muka mangsa.

Tidak cukup dengan itu, muka mangsa kemudian ditutup menggunakan bakal sampah dan diletakkan penyapu.

Tindakan biadab sekumpulan murid berkenaan turut mendapat perhatian Ketua Pemuda MIC Alor Setar, W Thiruchandru.

Menurutnya, pihak sekolah berkenaan sudah memanggil ibu bapa mangsa untuk menjelaskan kejadian yang melibatkan anak mereka.

“Ibu bapa mangsa hanya mengetahui kejadian ini setelah dimaklumkan oleh pihak sekolah pagi tadi (semalam) kerana mangsa tidak memaklumkan kejadian itu kepada mereka.

“Mereka amat kecewa dengan insiden itu dan meminta polis menasihati pelajar yang terlibat supaya tidak mengulanginya,” katanya.

Difahamkan, satu laporan dibuat oleh ibu bapa mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, kes itu bukan kejadian buli yang serius.

“Ini hanya gangguan daripada rakan-rakan. Bagaimanapun, kita masih menunggu perkembangan terkini dari pihak sekolah.

“Dalam kes ini, semua yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya.

0 comments:

share2