Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 13, 2015

PERSIAPAN RAPI TOK GAJAH


Persiapan rapi Tok Gajah


Menjelang pusingan kedua Liga Super yang membuka tirainya pada 20 Jun ini, skuad Tok Gajah kini sedang giat membuat persediaan rapi selepas menamatkan pusingan pertama liga selaku peneraju setakat ini.

Dengan latihan yang kembali bersambung pada 6 Jun lalu selepas mendapat cuti rehat pada 28 Mei setelah mengharungi jadual padat, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu sememangnya akan memanfaatkan sebaik mungkin baki hari menjelang tugas pertama yang menanti mereka berdepan The Cops di Stadium Shah Alam pada 20 Jun ini.

Antaranya perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Liga Perdana, Kuantan FA di Stadium Darul Makmur, malam tadi untuk persediaan Pahang menghadapi saingan liga.


Pakar pemakanan dipanggil

Zainal Abidin ketika ditemui Ultras Sinar sebelum ini, memberitahu, selain perlawanan persahabatan, seorang pakar pemakanan akan dipanggil untuk taklimat dan membantu pasukan dalam aspek pemakanan pemain sepanjang Ramadan berikutan perlawanan tetap dijalankan pada bulan tersebut.

“Ini antara persediaan pasukan dan pastinya aspek pemakanan sangat penting untuk membantu diet dan apakah makanan yang sesuai diambil sepanjang bulan puasa ini.

“Ini pertama kali semua pasukan perlu beraksi sepanjang Ramadan ini dan memang diakui akan terasa perbezaan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh pemain,” katanya.

Selain aspek pemakanan, jadual latihan pasukan turut berbeza sepanjang Ramadan dan bekas pemain kebangsaan itu memberitahu, latihan malam akan mula dijalankan pada 18 Jun ini.


Harap kelibat senior, junior

Dalam pada itu, pengendali berusia 53 tahun itu mengharapkan beberapa pemain yang terlibat dengan skuad senior dan skuad bawah 23 tahun negara di temasya Sukan Sea menggunakan pengalaman dan latihan yang ada untuk membantu Pahang menghadapi saingan Liga Super selepas ini.

Setakat ini, dua pemain iaitu D Saarvindran dan Matthew Davies bersama skuad bawah 23 tahun kendalian Datuk Ong Kim Swee beraksi untuk Sukan Sea Singapura manakala penjaga gol utama Pahang, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, R Gopinanthan dan Azamuddin Mohd Akil bersama skuad kebangsaan kendalian Dollah Salleh untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

“Mereka ini dijangka bersama pasukan beberapa hari sebelum perlawanan pertama dan kembalinya mereka nanti dapat melicinkan lagi strategi yang dilakar,” kata bekas pemain kebangsaan itu.


Zainal lega keputusan AFC

Sementara itu, keputusan yang memihak Pahang selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan kemenangan 3-0 ke atas kelab Indonesia, Persipura Jayapura nyata disambut dengan perasaan gembira oleh Zainal Abidin.

Menurutnya, ia memberikan peluang kepada Pahang membuat persediaan rapi dan fokus untuk persiapan menjelang pusingan suku akhir Piala AFC.

“Selepas sedikit terganggu sebelum ini, keputusan yang diumumkan oleh AFC memberikan pasukan fokus untuk persediaan sekali gus bertekad ke pusingan seterusnya dan hingga ke pentas final seperti yang disasarkan sebelum ini,” katanya.

0 comments:

share2