Pihak polis menafikan dakwaan yang dibuat seorang lelaki di laman sosial bahawa seorang tahanan, Tan Beng Aun, mati di dalam lokap Penjara Penor pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tahanan terbabit yang ditahan reman di Penjara Penor mengalami sawan sebelum di bawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada Ahad lalu.
Bagaimana pun, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah malam.
“Hasil siasatan mendapati tiada kesan jenayah pada si mati manakala pegawai perubatan mengesahkan terdapat saluran darah yang pecah di kepala akibat tekanan darah yang tinggi atau embolism.
“Justeru, saya menegaskan di sini, si mati bukan mati di dalam lokap seperti yang didakwa pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Vinson Pua dan turut dikongsi oleh Namchong Lim,” katanya kepada media di sini.
Abdul Aziz berkata, Beng Aun dituduh di mahkamah atas kesalahan jenayah akibat menceroboh berdasarkan laporan polis yang dibuat pada 5 Jun lalu.
Beliau berkata, sebelum itu, satu laporan polis turut dibuat majikannya selepas mendapati si mati hilang bersama kenderaan syarikat.
“Pihak polis memandang serius setiap tuduhan yang dibuat dan berharap orang awam tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat tidak sahih di laman sosial,” katanya.
0 comments:
Post a Comment