Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 18, 2015

MENTAKAB: SEKOLAH MEMANDU KENA SAMUN


Sekolah memandu kena samun


Seorang pemilik sekolah memandu kerugian RM20,000 apabila peti besi simpanan duit dipecah tiga lelaki bertopeng dalam kejadian samun di premis tersebut dekat Kilometer 5, Jalan Bypass Temerloh, Mentakab di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu itu, tiga lelaki bertopeng dipercayai warganegara asing turut mengikat seorang pengawal keselamatan Institut Memandu Jelapang Teguh yang bertugas pada malam kejadian.

Menurut pengawal keselamatan terbabit, Zambri Nipah berkata, kejadian berlaku tengah malam Jumaat lalu apabila tiga lelaki bertopeng bersenjatakan pisau dan wayar berjalan kaki meninggalkan kenderaan dan menuju ke pondok pengawal tempat dia berkawal pada malam kejadian.

“Tangan saya diikat dan salah seorang daripada tiga lelaki terbabit mengawal saya manakala dua lagi memecah masuk bilik pengurus melalui tandas bersebelahan pejabat.

“Mereka menggeledah pejabat lebih kurang dua jam dan dapat melarikan tunai RM20,000 dalam peti besi bilik pengurus.

“Saya berjaya melepaskan ikatan pada tangan beberapa minit selepas penjenayah tersebut beredar,” katanya.

Sementara itu, pemilik sekolah memandu terbabit, Cheang En Tong berkata, wang tersebut diletakkan dalam peti besi itu selepas dia menerima bayaran daripada pelanggan yang mahu mengambil kursus memandu.

Menurutnya, perompak menggunakan gergaji elektrik untuk memotong peti besi sebelum melarikan wang tersebut dan memotong pula besi tingkap untuk melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Anuar Othman mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 397 dan 397 Kanun Keseksaan.

0 comments:

share2