Ramai anak cucu tanya kenapa Tok Awang lama tak menulis. Jawapan mudah dan ringkas; Tok Awang penat, maklumlah orang tua. Baru balik dari Ulu Tembeling ikut rombongan lawatan Menteri 'Telefon, Whatsapp dan Facebook' ke Kampong 'Bukit Mat Daling' dan Kuala Tahan.
Misi menteri itu jelas... 'conneting the unconnected'. Memang dikawasan pedalaman Pahang khususnya di Ulu Tembeling masih belum terhubung lagi dengan dunia luar walau setelah 57 tahun merdeka.
Ini adalah entah kali ke berapa Tok Awang kesana. Tak banyak yang berubah, air tetap mengalir ke arah sama... dari hulu ke kuala... yang berbeza hanyalah warnanya.
Tok pernah menyusuri laluan dari kisah perjalanan Mat Kilau ketika dihambat tentera British dulu. Mat Kilau dan pengikutnya menyusur ke hulu sungai hingga ke Kg. Bantal... mudik lagi ke Sungai Lurut.. berjalan kaki beberapa hari .. bermalam di Kem Kemala...dan mendaki Gunung Main Angin.. turun di ulu Sungai Dungun di Kg. Pasir Raja. Dalam perjalanan boleh nampak Air Terjun Lata Keling disebelah kiri kita. Kalau kuat, dalam masa 3 hari kita dah sampai di Kg. Pasir Raja.
Tok masih ada sedara mara disana. Entah bila boleh Tok datang menjenguk mereka tu.
Kerbau masih banyak di Kg. Bantal dan Mat Daling. Kg. Peling, dulu sebuah kampiong besar juga, sebelah kiri ketika mudik sungai Tembeling, bertentangan dengan Kg. Mat Daling, sapa tak kenal Syukur (sekarang dah arwah). Dia dulu ditinggalkan banyak harta pusaka... ratusan ekor kerbau. Tiap kali dia nak disunatkan, tiap kali kerbau tumbang dikorbankan, tapi dia berjaya larikan diri. Sekarang Kg. Peling dah tinggal puing.
Dulu, orang di ulu ni berhuma padi. Nak ke bandar.. pekan terdekat adalah Jerantut. Seminggu berakit baru sampai ke Kuala Tembeling... membawa rotan serta lain-lain hasil hutan. Tak pun bawa kerbau untuk dijual. Segala kepayahan itu masih terbayang-bayang didepan mata Tok.
Ada 2 destinasi pelancongan yang menarik di Ulu Tembeling. Kedua-duanya punyai nama sama' 'Jeram Perahu'. Satunya 'Jeram Perahu' di Sungai Sepia dan satu lagi di Sungai Tembeling. Jeram Perahu Sungai Tembeling pernah dibangunkan tetapi terbengkalai. Ia maju seketika ketika dikendalikan oleh Tok Penghulu Razak, selepas tu semuanya hancur berderai.
Jeram Perahu tu tak jauh kedudukannya ... dihulu Sungai Irak.. yang airnya masih jernih. Diseberang sana, ada sebuah bukit yang tinggi dalam hutan simpan tadahan air... namanya Gunung Ais (nama asalnya adalah Gunung Ayeh) Tok pernah pergi kerabat (panjat) gunung tu sekali dulu. Kata orang tua-tua, hulu Sungai Tembeling ni berkongsi banjaran sama dengan Sungai Lembing.. iaitu Gunung Ulu Bakar.
Dulu, masa muda Tok ni kuat memanjat gunung, masa ni dah tak berapa 'rot' (daya) panjat memanjat ni. Tapi kalau setakat Bukit Panorama di Sungai Lembing tu, mencungaplah anak sedara Tok, 'Si Bad' tu menghambat langkah Tok ni.... baru dia tau.. otai masih berbisa!
Tok cuma terfikir, macam manalah rupanya nanti bila daerah pedalaman seperti di Ulu Tembeling itu dibangunkan? Apa impak kepada alam sekitar yang terpaksa kita tanggung? Sebenarnya kita terhimpit diantara keinginan kepada pembangunan dan dalam masa sama kita juga peka kepada pencemaran alam sekitar.
Tok Awang Selampit.
0 comments:
Post a Comment