Pahang merekodkan kedatangan sebanyak 9.4 juta pelancong yang menjana pendapatan sebanyak RM6.7 bilion pada tahun 2014.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Genting Hinglands menjadi lokasi tumpuan utama iaitu sebanyak 5.9 juta pelancong atau 62.52 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Kuantan yang terkenal dengan keindahan beberapa pantai pula merekodkan kehadiran pelancong seramai 1.27 juta atau 16.7 peratus, kata beliau.
"Kita berharap jumlah kedatangan pelancong dapat ditingkatkan pada tahun ini. Kita juga memerlukan lebih banyak bilik hotel untuk menampung kedatangan pelancong. Sehingga kini terdapat 536 buah hotel di Pahang menawarkan 28,173 bilik," katanya.
Adnan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Swiss-Garden Resort Residences Sungai Karang di sini, hari ini.
Adnan berkata kewujudan lebih banyak hotel di Pahang juga membuka lebih peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan, menyebabkan kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk membantu pihak swasta yang berminat mencebur diri dalam industri itu.
Beliau juga mengingatkan pengusaha penginapan di Pahang untuk tidak mudah memberhentikan pekerja atau terlalu kerap menukar pekerja, atas alasan mahu mengurangkan kos pentadbiran.
"Kita dapati masalah ini berlaku kerana apabila mereka menggaji pekerja baharu, gaji yang perlu dibayar adalah lebih rendah. Kita mahu hotel untuk memberi perasaan 'selamat' kepada pekerja mereka dan bukan sebaliknya," katanya.
Swiss-Garden Resort Residences Sungai Karang dibangunkan oleh PJ Development Holdings Berhad merangkumi 263 unit studio dan apartmen dua bilik dan 12 unit rumah bandar dupleks selain dilengkapi kemudahan taman tema air, gelanggang bola keranjang dan gimnasium.
0 comments:
Post a Comment