Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 14, 2015

ROMPIN : KEGEMBIRAAN MEMANCING BERTUKAR TRAGEDI

Kegembiraan memancing bertukar tragedi



Seorang juruteknik sebuah kilang di Melaka yang menghabiskan masa cutinya dengan menjalankan aktiviti memancing di sekitar perairan Pulau Acheh, Rompin, di sini berakhir tragedi apabila mangsa mati lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaiki sekitar jam 10 pagi, semalam.

Mangsa, Kamarul Azmi Tamami, 38, berasal dari Taman Sri Duyung, Melaka, dikatakan terjatuh ketika mandi di atas bot semasa dia bersama tujuh yang lain sedang bersiap untuk pulang ke Jeti Penyabong.

Rakan mangsa yang turut berada dalam bot berkenaan, Anuar Lepon, 40, berkata mereka keluar memancing di kawasan perairan pulau itu sejak 11 April lalu dan bermalam di atas bot yang melabuhkan sauh di sekitar Pulau Acheh.

“Selepas tiga hari memancing, kami sepakat untuk pulang setelah berpuas hati dengan hasil tangkapan. Ketika semua sedang bersiap untuk pulang ke jeti, kami terdengar bunyi objek jatuh ke laut, sebelum melihat mangsa yang terdahulu sedang mandi di atas bot terkapai-kapai kelemasan,” katanya.

Beliau bersama beberapa rakan lain berusaha menyelamatkan mangsa dengan terjun ke laut dan melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebaik mangsa berjaya dinaikkan ke atas bot.

“Walaupun kami berjaya membawa beliau naik ke atas bot serta memberikan bantuan CPR, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Jeti Penyabong, Endau,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tiga hari berada di laut, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku malah begitu seronok memancing kerana sudah merancang aktiviti tersebut sejak sekian lama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya yang dihubungi mengesahkan kejadian manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat sebelum di bawa pulang ke kampung halamannya di Melaka untuk dikebumikan.



0 comments:

share2