Kerajaan negeri Pahang sedang mempertimbangkan untuk menyerap dan menanggung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan oleh pihak berkuasa sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor, dan Terengganu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara itu akan diputuskan setelah pihaknya mengkaji dengan mendalam hal itu untuk mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan.
"Kita tidak mahu reaksi spontan dan hal berkaitan GST ini perlu dikaji secara mendalam sebelum dibuat sebarang keputusan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Perhimpunan Hari Pekerja Sempena Sambutan 50 tahun Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Kompleks Perdagangan Mahkota, Indera Mahkota di sini hari ini.
Adnan berkata, beliau memahami keperluan kerajaan dalam mengenakan cukai GST kerana ia memberi banyak faedah terutama dalam memenuhi keperluan rakyat masa kini.
"Cukai itu GST baik untuk rakyat apabila ia diuruskan dengan betul oleh kerajaan, tetapi rakyat perlu diberi penerangan dengan lebih jelas agar mereka faham dan dapat menerimanya," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong pelaksanaan GST dan akan membantu Kerajaan Persekutuan dalam usaha memberi penerangan rakyat supaya tidak berlaku 'sindrom penafian' terhadap cukai baharu itu.
0 comments:
Post a Comment