SHAH ALAM – Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang sebelum ini pernah mengumumkan untuk berhenti menulis tentang politik akui berbuat demikian kerana pernah disiasat di bawah Akta Hasutan pada Januari lalu.
Menurutnya, pendedahan yang dibuat bukan kerana mahu mencari publisiti namun susulan ramai yang bertanya kepadanya tujuan beliau kembali menulis selepas berehat hampir tiga bulan.
“Saya membuat kenyataan rasmi ini ialah setelah saya yakin daripada pengalaman saya sendiri bahawa apa pun anggapan buruk terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi saya menganggap bahawa PDRM telah seberapa daya menjalankan tugas mereka dengan profesional dan bukan di atas sentimen atau prejudis politik. Mereka bukanlah barua Umno seperti yang dituduh oleh seorang yang takbur dan lupa daratan.
“Saya telah disiasat di bawah Akta Hasutan oleh PDRM pada 18 Januari 2015 berhubung dengan ‘posting’ saya di Blog Zamkata pada 6 Disember 2014 yang bertajuk ‘Hakim-Hakim Menunggu Hasil Rundingan Kes Liwat Anwar. Akibat negara tidak di bawah pimpinan Dynamic dan Inspiring’,” katanya melalui artikel terbaharu, semalam.
Malah katanya yang dikenali dengan nama Zam berkata, perkara itu tidak diketahui sesiapa pun termasuk isteri dan anak-anaknya serta orang-orang yang rapat dengannya.
“Saya tidak memberitahu isteri saya kerana bimbang akan mengejutkannya dan menambah keuzurannya dan tidak mahu menyusahkan hati anak-anak saya walaupun saya sedar bahawa jika saya mendedahkannya akan menjadi berita besar, menimbulkan kegemparan dan reaksi yang positif dan negatif ,simpati dan kutukan tetapi bukanlah ini yang saya cari dalam penulisan dan kehidupan saya.
“Saya bertanya siapa saya dinilai begitu penting apabila disiasat di bawah Akta Hasutan. Saya bukan lagi seorang pemimpin, bukan aktivis mana-mana pertubuhan sosial dan politik, bukan berkonspirasi dengan sesiapapun untuk menjatuhkan pemimpin atau kerajaan dan bukan penulis upahan,” luahnya.
Katanya, tindakan berdiam diri itu dibuat susulan tidak mahu ia dijadikan isu yang menyebabkan timbul salah anggap terhadap polis.
“Saya mengambil keputusan untuk tidak membuat bantahan dan mendedahkan kepada media apabila siasatan itu di jalankan ke atas saya oleh kerana saya tidak mahu menjadikannya sebagai suatu isu politik yang akan menimbulkan anggapan salah kepada PDRM walaupun saya mencium seolah-olah ada ‘selective prosecution’ dalam arahan kepada siasatan ini.
“Saya mengambil keputusan untuk mengumumkan perkara ini, hari ini kerana ramai beranggapan bahawa saya telah tidak berpegang kepada janji untuk tidak lagi menulis politik semasa. Keputusan yang telah saya buat itu adalah oleh kerana tidak mahu lagi fikiran saya terganggu dengan apa-apa tekanan dan juga kerana menimbang keterbatasan kewangan saya untuk membuat pembelaan diri.
“Saya membuat keputusan untuk menulis semula setelah menerusi pengalaman ini saya dapat meyakinkan diri saya bahawa PDRM tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak untuk membuat siasatan dan dakwaan berasaskan sentimen dan prejudis politik atau prasangka buruk mana-mana pihak sebaliknya benar-benar berpegang kepada profesionalisme. PDRM bukan barua Umno,” tulisnya lagi.
0 comments:
Post a Comment