"Tercengang kami dibuatnya apabila tiba-tiba sebahagian atap hilang diterbangkan angin sedangkan kami tak dengar sebarang bunyi."
Demikian reaksi seorang suri rumah dan anak lelakinya apabila sebahagian atap rumahnya di Felda Lurah Bilut tercabut diterbangkan ribut dalam kejadian sekitar jam 3 petang kelmarin.
Junaidah Mat Rejab, 45, berkata, dia tidak menyedari bagaimana atap rumahnya itu diterbangkan kerana ketika kejadian tiada sebarang bunyi didengari.
Menurutnya, dia dan anak sulungnya sedang berehat di ruang tamu dan lihat keadaan di luar hujan.
“Kemudiannya menyuruh anak saya angkat kain di jemuran. Sebaik anak buka pintu, angin kuat menerjah ke dalam rumah. Apabila hendak menutup pintu semula, kami rasa seperti ada tempias air datang dari dalam rumah.
“Bila lihat ke atas, saya dan anak tercengang sebab sebahagian atap rumah sudah tiada. Peliknya, ia berlaku terlalu pantas dan saya tidak dengar sebarang bunyi ketika atap tercabut,” katanya.
Menurutnya, ketika menoleh ke bahagian atap yang tercabut, dia sempat terlihat kepulan angin berwarna kelabu.
“Saya terlihat angin berwarna kelabu berlalu pergi. Ketika itu, saya sempat melaungkan azan dan menyuruh anak memindahkan sofa dan barangan lain.
“Selepas ribut berlaku tidak sampai lima minit, hujan turun dengan lebat namun juga hanya sekejap. Saya berpesan kepada anak saya, jika keadaan bertambah teruk, kami perlu keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Namun saya bersyukur kerana ianya cuma seketika,” katanya.
Junaidah berkata, atap yang diterbangkan membabitkan bahagian bilik tidur anaknya dan sebahagian bilik tidurnya.
“Dua tilam bujang anak dan sebuah tilam bilik saya terpaksa dibuang kerana rosak terkena hujan semalam (kelmarin). Selain itu, meja dan beberapa perabot dalam bilik anak saya turut rosak terkena air. Malah komputer yang diletakkan di ruang tamu turut tidak dapat berfungsi kerana terkena tempias air hujan,” katanya.
Junaidah yang tinggal di Felda itu sejak 22 tahun lalu berkata, rumahnya sudah dua kali dibadai ribut, di mana kejadian kali kedua ini paling teruk dengan anggaran kerugian kira-kira RM10,000.
Katanya, perkara itu telah dilaporkan kepada pihak polis dan pengurusan Felda berjanji akan menghulurkan bantuan bagi membaiki rumahnya.
Sementara, seorang lagi mangsa ribut, Samsiah Ali, 70, berkata, semasa kejadian dia hanya terdengar dentuman guruh yang kuat sebelum mendapati bumbung ruang hadapan rumah kedai anaknya yang baru dibina diterbangkan angin.
Menurutnya, angin bertiup begitu kuat sehingga menerbangkan kesemua bumbung yang baharu dipasang itu, dan tersangkut di rumah jiran sebelah.
“Saya hendak isi minyak motosikal, tetapi disebabkan hujan, saya singgah seketika di rumah kedai milik anak saya ini.
“Sedang berehat tiba-tiba saya dengar bunyi guruh dan tidak lama selepas itu anak saya beritahu sebahagian atap di bahagian hadapan rumah sudah tiada.
“Atap yang baru dipasang itu tersangkut dan mengakibatkan sedikit kerosakan di bahagian atap rumah jiran sebelah. Ribut itu turut mengakibatkan rumah bahagian atas kedai ini sedikit merekah,” katanya.
Sebagaimana dialami Junaidah, Samsiah juga tidak menyangka hujan pada sebelah petang kelmarin itu turut membawa bersama ribut yang dahsyat.
“Felda ini sudah biasa dilanda ribut, namun belum pernah lagi terkena rumah kedai anak saya ini sejak mula dibuka dua tahun lalu.
“Kejadian berlaku sekelip mata dan tanpa disedari,” katanya.
Dalam pada itu, kejadian terbabit turut mendapat perhatian Penghulu Mukim Bentong, Muhammad Azizi Khalid; Setiausaha Sulit Ahli Parlimen, Jason Mun Hong dan Pembantu Ahli Parlimen, Tan You Seng.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Lurah Bilut, Yip Seng Lam berkata, JKKK telah meminta mangsa kejadian untuk membuat laporan polis.
“Sebanyak lima kedai dan tiga rumah peneroka terlibat dalam kejadian ribut terbabit. Pihak Felda juga telah melihat keadaan ini bagi membaik pulih rumah mangsa terlibat. Kami dari JKKK juga akan bantu mangsa dapatkan bantuan sewajarnya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment