Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 22, 2015

ROMPIN : MAYAT MOHD ADAM MUKHRIZ DITEMUI

Mayat Mohd Adam Mukhriz ditemui

Mayat kanak-kanak lelaki yang lemas di Pantai De Rhu, Kampung Rantau Panjang, di sini petang Khamis lalu telah ditemui oleh penduduk kampung tersebut di Pantai Lanjut sekitar jam 11.30 malam kelmarin.

Mayat Mohd Adam Mukhriz Ra-Azmi, 6, ditemui dalam keadaan terdampar dan kemudian mayatnya diambil oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin yang bertugas di Pusat Kawalan Bomba setelah menerima laporan penduduk yang menemuinya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Penolong Penguasa Bomba, Shamsul Affandy Sulaiman berkata, mayat kanak-kanak tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu selama operasi mencari dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, pada petang Khamis lalu dua kanak-kanak perempuan nyaris lemas manakala seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas dan masih belum ditemui ketika sedang bermain air di Pantai De Rhu, Kampung Rantau Panjang, di sini.

Dua kanak-kanak perempuan yang nyaris lemas itu berjaya diselamatkan oleh orang awam yang ketika itu berada di pantai dan telah dihantar ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut.

Seramai 50 anggota terdiri daripada pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis, Polis Marin, Maritim, Jabatan Pertahan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela yang turut dibantu penduduk kampung bertungkus-lumus melakukan pencarian di air serta pantai.


Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin seperti dilaporkan Sinar Harian semalam berkata, pasukan penyelamat melibatkan pelbagai agensi sedang giat mencari mangsa yang hilang sekitar jam 5 petang kelmarin.

"Mangsa, seorang kanak-kanak lelaki dikenali Mohd Adam Mukhriz Ra-Azmi, 6, yang tinggal di Kampung Tebu Hitam, adalah murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Leban Chondong dilapor hilang. Mangsa dikhuatiri lemas dan operasi mencari sedang giat dijalankan,” katanya.




0 comments:

share2