Bau busuk meloyakan! Itu yang terpaksa dihidu oleh penduduk kampung di Sungai Isap di sini, hampir tiga bulan lalu.
Bau busuk itu dikatakan datang dari longkang berikutan saluran air tidak dapat mengalir disebabkan longkang tersebut rosak dan boleh mengundang pembiakan nyamuk aedes.
Wakil penduduk, Ishak Awang Hitam, 71, berkata, keadaan ini sudah berlarutan hampir tiga bulan, namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berwajib.
“Saya ada buat aduan kepada ketua kampung di kawasan ini agar dia melaporkan perkara ini kepada pihak berwajib. Tapi, sampai hari ni tiada sebarang perubahan.
Saya tertanya-tanya adakah laporan kepada pihak berwajib telah dibuat,” katanya ketika ditemui di kediaman semalam.
Menurutnya, takungan air dari longkang berhampiran yang tidak terurus akan menyumbang kepada pembiakan aedes.
“Perkara ini sebenarnya merimaskan penduduk dan mengundang kebimbangan terutamanya selepas peningkatan kes demam denggi di negeri ini. Jika ini tak diselia dan di baik pulih, ia akan mengundang jangkitan tersebut,” katanya.
Ishak berkata longkang tersebut rosak berpunca dari lori tanah yang diparkir di kawasan berhampiran perumahan itu sejak tiga bulan lalu.
Seorang lagi penduduk, Wahid Jusoh, 66, menyuarakan aduan yang sama dan mahu pihak berwajib menyelesaikan masalah ini segera.
Wahid memberitahu, sikap segelintir penduduk di kawasan itu yang seolah-olah tidak menghiraukan risiko bakal dihadapi turut menggusarkan.
“Ada penduduk buang sampah mengakibatkan longkang tersumbat... selain longkang pecah yang tidak dibaiki. Situasi ini akan menyumbang kesan negatif terhadap kesihatan penduduk terutamanya kanak-kanak.
“Saya rayu agar pihak berwajib ambil tindakan sewajarnya supaya keadaan ini tidak berlanjutan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment