Pahang mempunyai banyak keistimewaan sebagai tarikan pelancong apabila mempunyai pakej alam semula jadi yang serba lengkap. Gunung-ganang, sungai, hutan, pantai dan tanah tinggi merupakan antara khazanah yang menjadi aset bagi melonjakkan sektor pelancongan di negeri itu.
Justeru, Taman Negara di Kuala Tahan dekat sini antara destinasi yang sentiasa bermain di bibir pelancong.
Taman Negara masih dapat bertahan sebagai destinasi yang popular di kalangan pelancong domestik dan Barat yang mahu melihat lebih dekat khazanah itu selain menyedut udara bersih sambil pemandangan alam yang menghijau.
Waktu yang paling sesuai untuk pelancong mengunjungi Taman Negara adalah pada April hingga November selain cuti hujung minggu.
Taman Negara yang terletak di Banjaran Titiwangsa dan meliputi sebahagian daerah Lipis dan Jerantut berjaya menggamit kedatangan pelancong khususnya para pencinta alam yang mahu menikmati kehijauan hutannya, kejernihan sungainya dan keriuhan kicau mergastua.
Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyediakan pelan perancangan dan pengurusan hutan dalam usaha menyenaraikannya sebagai Warisan Dunia seperti khazanah sejarah dan alam di negara Asia lain.
Keindahan hutan Taman Negara dapat dinikmati sebaik sahaja bot yang membawa pelancong singgah di jeti Mutiara Resort dari Kuala Tembeling atau turun dari kenderaan di Kuala Tahan Seberang melalui jalan darat dari bandar Jerantut.
Suasana sepi hutan bertukar 'hidup' dengan kegiatan pelancong dari pelbagai negara menginap di Mutiara Resort yang menyediakan 117 calet untuk keselesaan pengunjung di samping tempat penginapan yang diusahakan oleh penduduk di Kuala Tahan. Jika bernasib baik, penginap dapat melihat sendiri binatang liar seperti rusa, babi hutan dan binatang kecil lain yang merayau-rayau di sekitar calet menjelang tengah malam hingga ke awal pagi.
Bagaimanapun, pelancong juga boleh menyertai kegiatan safari malam untuk melihat haiwan liar di kawasan yang disediakan dengan bantuan pemandu pelancong dan petugas perhilitan.
Pada sebelah siang, pelancong boleh beriadah dengan mendaki Bukit Teresek untuk menyaksikan keindahan alam semula jadi dari puncak bukit tersebut.
Selain itu, pelawat boleh berjalan kaki dari Bukit Teresek selama 45 minit untuk sampai di tangga jambatan gantung (canopy walkway) sebelum meniti jambatan berkenaan setinggi 400 meter dari aras laut.
Seperti hutan hujan tropika lain, Taman Negara juga menyediakan rangkaian gua untuk diteroka seperti Gua Telinga dan Gua Daun Menari di samping banyak lagi gua yang sedang dikenal pasti untuk dibuka kepada pengunjung.
Pengunjung pastinya merasa puas apabila melawat penempatan Orang Asli suku Batek di Dedari, berjalan malam di hutan, berakit dan mengintai binatang buas menjilat garam di lima buah jenut dan bumbun termasuk Bumbun Tahan.
Bagi pendaki tegar, Gunung Tahan sentiasa menanti untuk menyahut cabaran yang tidak terdapat di gunung lain di negara ini sehingga sesetengah pendaki menyifatkan tidak lengkap lawatan jika tidak mendaki gunung tertinggi di Semenanjung itu.
Menaiki bot penambang atau dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai 'bot Tembeling' pastinya membuat pelancong merasai keseronokan yang agak berbeza dengan pengangkutan sungai di tempat lain.
Begitu juga Sungai Lembing yang bisa jadi destinasi perlancongan utama bagi Negeri Pahang. Malangnya Sungai Lembing bagaikan terlepas pandang oleh pihak berwajib. Jelas pada hujung minggu ramai pengunjung datang dari sejauh KL untuk bersama dengan alam semula jadi. Sekurang-kurangnya infra yang ada dibaik pulih seperti jambatan dan tempat penginapan. Rumah persinggahan seperti Pesona Resort di bawah PKNP sudah lama terbiar, apa sudah jadi? Kemudahan buang sampah di pesisiran sungai seperti di Pasir Kubur, Sungai Mas dan Sungai Balang patut disediakan kerana ternyata pengunjung masih ramai yang tidak ada kesedaran kebersihan. Wujudkan lebih banyak kawasan Tagal dan kawasan Tagal yang sedia ada wajib dikuat-kuasakan sepenuhnya. Diharap YB Suhaimi dan Exco Perlancongan mengambil perhatian serius tentang perkara ini.
Satu lagi tempat perlancongan terbiar ialah 'river cruise' Sungai Chini yang mana kerajaan telah berbelanja jutaan ringgit tetapi kini tinggal usang dengan pejabat,terusan air, bot/canoe ditinggal berselerak/tenggelam dalam sungai. Ini satu pembaziran yang amat ketara.Pihak berwajib tolonglah ambil perhatian..