Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 26, 2014

MARAN: MANGSA MULA PULANG


Kejadian banjir selama 12 jam itu menjejaskan aktiviti perniagaan dan menyukarkan kerja mencuci akibat lumpur tebal.


Maran - Suasana suram menyelubungi penempatan yang dilanda banjir sejak Isnin lalu apabila mangsa pulang seketika bagi mencuci kediaman masing-masing selepas air surut semalam dengan perasaan penuh duka.

Kerja mencuci agak sukar dan membebankan berikutan banjir bukan sekadar membawa sampah namun lumpur setebal paras buku lali yang menyebabkan pelbagai kerosakan harta benda.

Seorang penduduk, Mohd Din Mamat, 53, berkata, kejadian banjir tahun ini disifatkan paling buruk dengan air setinggi hampir dua meter bersama lumpur tebal.

Menurutnya, pada malam Isnin lalu, air mula memasuki dalam rumah kira-kira jam 11 malam selepas hujan lebat lebih 12 jam.

“Kebanyakan penduduk tidak menyangka air akan naik secara mendadak dan hanya kurang satu jam, air sudah melepasi paras pinggang.

“Dalam keadaan sedemikian, penduduk tidak dapat memindahkan harta benda seperti perabot dan perkakas dapur ke tempat selamat sebelum diarahkan berpindah ke Masjid As-Syakirin Maran.

“Saya empat beranak hanya membawa dokumen penting dan beberapa helai pakaian ke pusat pemindahan bersama 128 keluarga lain dari Taman Maran Jaya,” katanya.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 30 peniaga di bandar maran mengalami kerugian puluhan ribu ringgit apabila premis perniagaan mereka dimasuki air setinggi satu meter.

Seorang peniaga barangan aksesori kenderaan, Wai Peck Keong, 45, berkata, banjir kira-kira jam 12 tengah malam Isnin itu berlaku ekoran limpahan air Sungai Maran sehingga memasuki deretan kedai dan merupakan kejadian diluar jangkaan.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian tersebut pada jam 1 pagi selepas dimaklumkan seorang rakan dan sebaik tiba di Bandar Maran, tiada apa yang dapat diselamatkan.

“Banyak barang yang rosak dan kerugian hampir RM30,000 dan ini adalah banjir terburuk sepanjang 20 tahun meniaga disini,” katanya.

0 comments:

share2