Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 26, 2014

GANTI SAMBUTAN 2015 DENGAN MAJLIS DOA SELAMAT


Dr Asyraf


Shah Alam – Sambutan tahun baharu wajar dibatalkan dan diganti dengan majlis muhasabah dan bacaan doa selamat perdana kerana negara sedang berdepan dengan musibah banjir yang terburuk dalam sejarah.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia sebagai tanda prihatin di samping memohon kepada ALLAH SWT agar bencana ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

“Ini bukan sahaja bagi seluruh rakyat dapat menilai diri terhadap segala musibah yang berupa ujian ALLAH. Bahkan memohon agar rakyat dan negara ini dilindungi ALLAH daripada kecelakaan buat tahun mendatang.

“Sudah tentu kita tidak mahu undang kemurkaan ALLAH yang lebih besar akibat tindakan kita yang sering melakukan penyimpangan dengan penganjuran majlis hiburan tatkala negara masih dirundung kesedihan,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, sambutan tahun baharu perlu diganti dengan acara berunsurkan keagamaan ritual dan doa dalam bentuk pengisian kerohanian mengikut kepercayaan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Kerajaan dicadangkan menggantikan sambutan ambang tahun baharu tersebut dengan pengisian merangkumi solat Maghrib, bacaan Yasin dan doa selamat, solat Isyak dan solat hajat berjemaah bagi yang beragama Islam.

“Manakala bagi penganut agama-agama lain, acara berunsurkan agama mengikut kepercayaan masing-masing boleh dilakukan di rumah ibadat masing-masing di seluruh negara,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii turut menyarankan penganjur sambutan tahun baharu supaya lebih peka dengan nasib menimpa rakyat terjejas banjir dengan membatalkan program tersebut.

Beliau turut mencadangkan agar peruntukan untuk sambutan ambang tahun baharu disalurkan kepada rakyat yang terjejas banjir.

"Jika sambutan ini diteruskan, ia seolah-olah menggambarkan penganjur tidak prihatin dengan nasib menimpa rakyat di negeri dilanda banjir. Sedangkan, kejadian ini paling teruk dalam sejarah dan kita mendengar pelbagai rintihan daripada mereka.

"Di saat ini, mangsa memerlukan dana yang amat banyak untuk memulakan hidup selepas banjir surut. Maka lebih baik penganjur menyalurkan peruntukan sambutan tahun baru kepada mangsa banjir," katanya.

0 comments:

share2