Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 26, 2014

LIPIS: 3 ANGGOTA POLIS NYARIS HANYUT


Adun Benta, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak (kiri) membantu mengangkat jenazah arwah Yusoh di laluan berhampiran Dewan Residen.


Kuala Lipis - Sebuah bot polis yang dinaiki tiga anggota polis membawa bekalan makanan ke Kampung Kuala Kenong terbalik, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berlaku apabila bot itu melanggar wayar boya kampung berkenaan.

“Ketika kejadian dua buah bot polis dan sebuah bot bomba sedang dalam misi menghantar bekalan makanan termasuk beras kepada penduduk di Kampung Kuala Kenong.

“Setelah melanggar wayar boya tersebut bot berkenaan telah terbalik lalu mengakibatkan seorang anggota dihanyutkan arus deras manakala dua lagi sempat berpaut pada wayar berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak yang turut menyertai misi berkenaan bersama Pegawai Daerah Lipis, Datuk Ahmad Daud kemudiannya bertindak membantu menyelamatkan anggota terbabit.

“Pasukan bomba bertindak segera menyelamatkan anggota yang dibawa arus deras. Kita bernasib baik kerana semua anggota memakai jaket keselamatan selain mereka telah dilatih menghadapi musibah ketika banjir.

“Paras air sungai yang mencecah 13 meter menyebabkan anggota tidak nampak wayar boya yang berselirat di dalam air,”katanya.

Selain itu, jenazah seorang warga emas, Yusoh Bedu, 75, yang meninggal dunia di Hospital Lipis pagi semalam akibat jangkitan kuman dan kegagalan fungsi organ dalaman terpaksa menggunakan trak polis dan bot.

Ini berikutan jalan masuk ke bandar Lipis tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan.

Jenazah arwah Yusoh telah dihantar ke Kampung Keledek bagi urusan pengebumian.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Lipis terus meningkat kepada 2893 sehingga jam 6 petang semalam membabitkan 632 keluarga dari 31 kampung di daerah ini.

Selain itu, pusat pemindahan di Surau Kampung Dusun dan Kampung Pagar Sasak telah ditutup dan penduduk telah dibenarkan pulang ke rumah.

Manakala sebuah pusat pemindahan baru di buka di Kampung Tanjung Jambu.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati laluan masuk ke daerah ini telah ditutup kepada kenderaan ringan.

0 comments:

share2