Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 26, 2014

KUANTAN; BIMBANG TEBATAN DITEBUK SEBABKAN BANJIR


Dua daripada tiga laluan air di tebatan banjir yang ditebuk dikhuatiri menyebabkan kemasukan limpahan air Sungai Kuantan jika tidak ditutup.


Kuantan - Penduduk sekitar Sungai Isap dan Tanah Putih Baru di sini bimbang ban tebatan banjir yang dipecahkan untuk mengalirkan air tersekat dalam kejadian banjir penghujung 2013 menyebabkan berlaku kemasukan air ke kawasan tersebut sekiranya berlaku limpahan air Sungai Kuantan akibat fenomena air pasang besar.

Kebimbangan penduduk itu disebabkan tiga laluan yang ditebuk berhampiran Medan Feri, Tanah Putih Baru di sini itu tidak ditutup kembali sebaliknya terus menjadi laluan pintas kenderaan kecil.

Salah seorang penduduk dari Sungai Isap, Datuk Wan Nor Azhar Wan Mustapha berkata, dia bimbang, sekiranya air pasang besar berlaku, air sungai Kuantan akan melimpah masuk ke penempatan penduduk sekaligus menyebabkan banjir.

Menurutnya, dia difahamkan, ban tersebut terpaksa ditebuk ekoran kejadian banjir dua tahun lalu bagi tujuan mengalirkan air banjir keluar.

“Ketika itu, aras jalan di kawasan tersebut agak rendah dan sering kali dilimpahi air terutama pada musim hujan.

“Selepas kerja-kerja naik taraf laluan itu dilakukan, aras jalan dinaikkan dan hampir sama dengan ketinggian ban tebatan banjir yang dibina sekali gus berkemungkinan limpahan air Sungai Kuantan tersekat dan mengalir masuk ke kawasan penduduk melalui lubang yang ditebuk itu,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Wan Nor Azhar berkata, kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan sekitar Kuantan kini menyebabkan penduduk risau kawasan Sungai Isap dan Tanah Putih Baru turut terlibat ekoran masalah itu.

“Saya berharap pihak berkuasa membuat pemantauan dan menutup kembali lubang tersebut sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

“Sebagai penduduk di sini, kami trauma menghadapi musim banjir ekoran peristiwa banjir besar yang melanda bandar ini pada 2013 dan berharap agar bencana kali ini tidak serius seperti dahulu,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Kuantan (JPS) , Sumiliana Sulong berkata , penduduk tidak perlu bimbang berhubung masalah itu kerana rekod paras air tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini tidak sampai dan jauh dari tebatan yang ditebuk itu.

Menurutnya, kawasan itu bebas daripada limpahan air dan sepatutnya tidak perlu dibina tebatan bagaimanapun atas faktor berjaga-jaga, ianya dibina bagi mengawal kemasukan air sungai ke kawasan tersebut.

“Justeru penduduk tidak perlu bimbang. Namun, JPS akan sentiasa membuat pemantauan dan tindakan segera akan diambil jika perlu.

“Paling penting kini penduduk di kawasan terlibat peka dengan perkembangan semasa termasuk laporan terkini paras air sungai,” katanya.

Sumber

0 comments:

share2