Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 14, 2014

PERNIAGAAN DALAM TALIAN BANTU USAHAWAN KASUT MANIK



Kuala Lumpur - Bermula sebagai pekerja sambilan menjahit kasut manik 12 tahun yang lepas, Maszni Abdul Aziz, 43, kini boleh berbangga apabila digelar usahawan kasut manik yang aktif dan berjaya di negara ini.

Susulan sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, mendorong Maszni membuka syarikat Sparkle Beads Enterprise di negeri kelahirannya di Merlimau, Melaka.

"Semuanya bermula pada 2002 apabila saya berpindah rumah dari Umbai ke Kampung 8, Melaka. Masa itu, kami berjiran dengan komuniti berbangsa Cina yang menjahit kasut manik sebagai punca pendapatan sampingan.

"Suri rumah berbangsa Cina jarang membuang masa. Apa sahaja perkara yang boleh mendatangkan duit, mereka akan usahakan. Sebab itu bila mereka menjahit kasut manik, saya jadi tertarik dan cuba belajar perlahan-lahan", katanya.

Mazni ditemui Bernama di booth Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sempena Pameran dan Persidangan Kelima - Dunia Perniagaan dan Dunia Perniagaan Islam OIC dari 10-14 Nov di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

TUNJUK AJAR PELBAGAI PIHAK

Oleh kerana kesungguhan yang ditunjukkan Maszni dalam pembuatan kasut manik, Kraftangan Malaysia terus membimbing beliau sebagai usahawan kecil.

"Kraftangan Malaysia banyak membantu dalam memberi bimbingan untuk menjadi usahawan dan membawa saya mempromosi produk kita di merata tempat", katanya.

Tambah Maszni, bakat dan kebolehan membuat kasut manik telah membawa beliau ke serata dunia seperti Singapura, Taiwan, China, Korea Selatan dan Jepun. Hasil jelajah itu dibawa khas oleh pihak Pelancongan Malaysia.

Selain itu, Program Pusat Internet 1Malaysia juga antara penyumbang terbesar kejayaan perniagaan produk Maszni yang mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan dalam talian.

"Di situ saya belajar bagaimana nak buka laman web, nak buka akaun 'Facebook', nak masukkan gambar-gambar kasut manik ni. Sejak mengenali internet ni, barulah saya tahu kita boleh 'business' dalam tu dan berinteraksi dengan pelanggan", katanya.

REBUT PELUANG SELAGI ADA

Ibu kepada tiga anak perempuan ini berkata melalui Pusat Internet 1Malaysia yang diwujudkan di kawasan kampungnya, beliau mendapat ilmu percuma daripada kakitangan pusat itu.

"Dengan bayaran RM1.00 untuk sejam, kita boleh gunakan perkhidmatan internet. Sangat murah dan sangat-sangat membantu saya dalam pernigaan ini", katanya.

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih atas bantuan yang diberikan kerajaan terhadap usahawan yang baharu bertapak sepertinya.

"Macam saya, saya diberikan geran RM1,000 melalui program Get Malaysian Business Online (GMBO) oleh kerajaan kepada peniaga online dengan menepati syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.

Mengakhiri perbualan, Maszni berpesan agar orang ramai yang berminat dalam bidang keusahawanan mengambil peluang, bantuan atau kemudahan yang disedia kerajaan bagi menjana ekonomi masing-masing.




0 comments:

share2