Projek memecah benteng pasir semulajadi di muara sungai Tanjung Agas dilihat mampu mengurangkan risiko banjir jika bencana berkenaan kembali melanda daerah ini.
Adun Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohd Puzi Sh Ali berkata, usaha berkenaan pertama kali dilakukan pada Disember tahun lalu dan ia berjaya melancarkan pengaliran air banjir keluar terus ke laut.
Menurutnya, selain mengalami kerugian harta benda, tanaman dan ternakan, majoriti mangsa (banjir) yang terlibat juga terpaksa tinggal di pusat pemindahan sehingga lebih sebulan ekoran paras air terlalu lambat surut.
“Kedudukan geografi daerah Pekan adalah di bahagian hilir dan sudah pasti paras air Sungai Pahang di sini meningkat terutamanya pada musim tengkujuh di mana perlu menampung aliran air banjir yang turun dari kawasan hulu.
“Keadaan air yang ‘bertahan’ ekoran hanya ada satu laluan keluar ke laut sejak dahulu iaitu di Kuala Pahang ditambah cuaca hujan lebat berpanjangan memburukkan lagi kesan banjir kepada masyarakat setempat,” katanya ketika meninjau kerja-kerja memecah benteng pasir di sini.
Sementara itu, Sh Puzi turut memaklumkan bahawa projek yang menelan kos sebanyak RM300 000 ini hanya dapat bertahan kira-kira tiga ke empat bulan sebelum benteng pasir kembali terbentuk melalui faktor semulajadi laut.
“Masyarakat perlu jelas dan faham bahawa projek ini dinilai secara teliti terlebih dahulu sebelum dilaksanakan dan ia tidak seharusnya dipertikai sedangkan jumlah kos yang dikeluarkan mampu mengurangkan kerugian keseluruhan kesan banjir yang mencecah jutaan ringgit.
“Usaha yang dilakukan adalah semata-mata untuk meringankan kesulitan yang dialami mangsa terlibat di mana mereka tidak perlu tinggal lama di pusat pemindahan seperti sebelum ini kerana ada dua laluan air yang terbuka ke laut lepas mampu menurunkan paras banjir dengan kadar lebih cepat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment