Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 21, 2014

CAMERON HIGHLANDS : PENGGUNAAN RACUN ANCAM KESIHATAN

Penerokaan haram yang berleluasa di Cameron Highlands telah mencemarkan sumber air penduduk.
Gambar kecil: Ramakrisnan


Penggunaan beberapa jenis racun terlarang oleh petani di daerah ini seperti jenis DDT dan Aldrine dikhuatiri memberi ancaman kepada kesihatan penduduk.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), R Ramakrisnan berkata, racun-racun ini dibimbangi akan tersimpan di dalam sayur-sayuran dan juga mengalir ke sumber air yang digunakan penduduk setempat.

Katanya, racun yang diharamkan ini digunakan berleluasa dan dicampur dengan racun lain untuk memastikan sayur tidak dimakan ulat.

“Bagi memastikan tanaman sentiasa segar ada antara petani yang bertindak guna racun terlarang dikhuatiri akan turut menjejaskan sumber air.

“Racun-racun ini yang dijual di Thailand amat merbahaya, contohnya DDT yang tidak akan hilang kesan dalam tempoh 50 tahun,” katanya.

Ramakrisnan berkata, sumber air di kawasan tanah tinggi di sini juga semakin terancam apabila ujian yang dilakukan mendapati terdapat bakteria e-coli secara berterusan dalam air yang telah dirawat.

Menurutnya, pencemaran bakteria di dalam air berkenaan dipercayai berpunca daripada najis pekerja-pekerja asing yang ‘dilepaskan’ terus ke dalam sungai serta baja tahi ayam yang mengalir ke dalam sumber air.

“Berdasarkan ujian daripada sampel air terawat setiap hari saya amat terkejut kerana terdapat bakteria e-coli di dalam air yang boleh membahayakan kesihatan penduduk di sini.

“Malah pada masa ini saya sedang melakukan ujian bagi mengenal pasti kesan bahan kimia khususnya racun terlarang yang digunakan petani dan mengalir ke sumber air apabila bercampur dengan klorin,” katanya.

Ramakrisnan berkata, kewujudan banyak pekerja asing termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) yang tidak melalui saringan kesihatan boleh menyebabkan penyebaran pelbagai wabak penyakit.






0 comments:

share2