Sepasang warga emas di Kampung Petola di sini melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas dana bantuan kecemasan yang diterima mereka.
Warga emas berkenaan, Jaafar Aman, 58, dan isterinya, Rohaya Ishak, 55, menerima sumbangan cek bernilai RM5,000 yang dapat meringankan beban untuk membeli peralatan membaiki rumah yang dihempap kereta.
“Kediaman kami yang terletak di bawah cerun berdekatan jalan raya telah dihempap oleh sebuah kereta yang terbabas dari arah laluan Kuala Lipis ke Merapoh dalam kejadian pada bulan Ramadan lalu.
“Berikutan kejadian ini, sebahagian kekuda, atap dan bumbung rumah turut musnah dan mengambil masa untuk menyiapkannya memandangkan saya kekurangan wang untuk membeli peralatan binaan,” katanya di sini, kelmarin.
Hadir menyampaikan bantuan tersebut Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long yang turun padang menziarahi pasangan warga emas berkenaan.
Hadir sama, iaitu Penghulu Mukim Telang, Abdullah Zawawi Kamaluddin dan Penghulu Mukim Kechau, Amran Hussin.
Jaafar berkata, dia sekeluarga bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri menerusi bantuan berkenaan setelah Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Petola melaporkan musibah itu kepada wakil rakyat kawasan Padang Tengku.
Menurutnya, pada hari kejadian berkenaan, wakil rakyat (Datuk Mustapa) turut menziarahi keluarganya dan memberi jaminan untuk membantu apabila selesai laporan daripada JKKK.
“Nyata sekali janji beliau (Mustapa) direalisasikan hari ini dan saya amat berterima kasih kerana keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri membantu meringankan beban untuk membeli peralatan bagi membaik pulih kerosakan kediaman ini,” katanya.
Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan BN negeri tidak memilih bulu, kaum, etnik Orang Asli termasuk kepercayaan politik untuk membantu mangsa yang ditimpa musibah selari dengan keutamaan melestarikan pembiayaan kebajikan terhadap penduduk yang susah.
“Kerajaan negeri mempunyai dana bantuan bencana alam dan kecemasan yang mencukupi untuk membantu penduduk yang terbabit dengan musibah sekali gus meringankan tanggungan dan penderitaan yang mereka alami,” katanya.
Menurutnya, JKKK Petola diminta terus memantau kebajikan pasangan warga emas berkenaan serta membantu membaik pulih kediaman itu secara bergotong-royong agar mereka kembali hidup selesa.
0 comments:
Post a Comment