TAWAU – Mayat kanak-kanak yang hilang dalam nahas pelanggaran bot kayu dan kapal barang pada Selasa lalu di Check Point PGA Wallace Bay, dekat sini, ditemui selepas kerja mencari dan menyelamat dilakukan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tawau, Kapten Anor Jaafar berkata, mayat Yongki, 2, dikesan terapung selepas 36 jam hilang oleh helikopter penyelamat APMM.
“Kami menemui mayat mangsa kira-kira lima batu nautika dari tempat kejadian dengan masih lengkap berpakaian dan keadaan anggota yang telah menggelembung dan matanya terkeluar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Jelasnya, konsulat Indonesia telah dimaklumkan mengenai penemuan itu bagi membolehkan mayat mangsa dituntut oleh ahli keluarganya.
Menurut Anor, operasi mencari dan penyelamat bermula pukul 6 pagi oleh seramai 25 anggota disertai pasukan polis marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Operasi itu ditamatkan pada pukul 10 pagi selepas mayat mangsa ditemui.
Terdahulu, kanak-kanak warga Indonesia bersama empat lagi ahli keluarganya yang terselamat dipercayai cuba masuk ke negara ini, namun bot dinaiki mereka berlanggar dengan kapal barang pada pukul 7 malam, Selasa lalu.
0 comments:
Post a Comment