Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 22, 2014

AMAL 3R UNTUK UMNO KEKAL RELEVAN




KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Dalam dunia yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi maklumat masa kini, Umno sebagai parti terbesar orang Melayu, tiada pilihan.

Umno mesti bersungguh-sungguh bergerak seiring dengan perkembangan semasa dan menguasai 3R iaitu 'relevant, responsive, respected' (relevan, responsif, dihormati) untuk membolehkannya 'awet muda' dan tangkas menghadapi cabaran, meskipun sudah berusia 68 tahun.

Penganalisis politik berpendapat Umno hendaklah memanfaatkan dan menguasai sepenuhnya teknologi baharu seperti media sosial; menjana perubahan dalam strategi pendekatan; dan melakukan anjakan paradigma minda kepimpinan setiap peringkat bagi meraih sokongan, khususnya orang Melayu.

Penjenamaan semula parti selain usaha pengkaderan berterusan adalah suatu keperluan penting bagi memastikan kelangsungan Umno, kata mereka.

TIADA JAMINAN SOKONGAN ORANG MELAYU SELAMA-LAMANYA

Hal ini diakui Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Beliau berkata parti perlu lebih berperanan menyelami masalah rakyat terutama orang Melayu bagi memastikan parti itu mampu mendominasi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sambil mengingatkan bahawa tiada jaminan mutlak orang Melayu akan selama-lamanya menyokong perjuangan Umno, Syed Ali berkata: "Kita kena ingat Umno kekal relevan sehingga sekarang kerana mendapat sokongan sebilangan besar orang Melayu."

Mengingatkan bahawa sokongan orang Melayu terhadap Umno yang meningkat pada pilihan raya umum ke-13 itu boleh berubah, Ketua Umno Bahagian Cheras berkata sokongan berkenaan tidak mampu bertahan jika pendekatan parti tidak berubah seiring dengan senario politik masa kini.

UMNO MESTI MENGIKUT ALIRAN ZAMAN

Tidak seperti manusia yang tiada pilihan untuk terus kekal dalam usia remaja, Umno sebagai parti tunjang Barisan Nasional (BN) mempunyai pilihan sama ada mahu kelihatan 'awet muda' atau pun 'dimamah usia'.

Usia parti tidak seharusnya menjadi faktor penolak rakyat, khususnya orang Melayu, terhadap Umno untuk terus berkuasa dan memberi khidmat kepada negara ini.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata Umno bukanlah satu-satunya parti tertua di dunia kerana ada parti yang lebih tua iaitu parti Democrat dan Republican di Amerika Syarikat yang masih lagi wujud.

"Isunya bukan lama atau baharu sesebuah parti, tetapi sekiranya mampu menampilkan muka baharu, mengikut kehendak zaman dan memenuhi aspirasi rakyat, Umno akan terus kekal diterima rakyat," katanya.

Menjelang Perhimpunan Agung Umno, yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 25 Nov hingga 29 Nov ini, beliau menegaskan Umno boleh menjadi parti 'malar segar' sekiranya mengamalkan konsep 3R.

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata Umno perlu berdaya saing dan bersikap lebih inklusif dan terbuka.

"Lebih penting Umno mesti terbuka untuk menerima kehadiran dan penyertaan golongan muda. Persoalannya, adakah Umno sudah cukup terbuka?," soalnya.

Beliau berkata Umno seharusnya mengambil kesempatan semaksimum mungkin pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 pada 2012 yang membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti.

MENJADI 'WORKING PARTY'

Mohd Izani juga berpendapat transformasi Umno sangat penting dan ia seharusnya bangkit menjadi 'working party' iaitu parti yang memperjuangkan aspirasi dan kehendak rakyat keseluruhannya.

Pendapat Mohd Izani ini dikongsi bersama penyelia tapak binaan, Rohaizam Munyameen, 40, yang berpandangan bahawa wakil rakyat mestilah bersedia menghulurkan khidmat dalam apa juga keadaan.

Katanya sikap 'ambil mudah' wakil rakyat daripada Umno yang jarang-jarang turun padang bersemuka dan menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat adalah antara punca mengapa parti itu ditolak.

"Sewaktu banjir, kemarau atau pun musibah seperti kematian atau sebagainya, tiada pula wakil rakyat nak tunjuk muka... muncul hanya ketika nak pilihan raya sahaja. Mentaliti wakil rakyat seperti ini perlu diubah," kata Rohaizam.

Beberapa pemimpin parti jelas menyedari hal ini.

Semasa Konvensyen Umno Johor pada 14 Nov, Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik sebagai berkata bahawa antara jalan pembaharuan Umno mestilah berorientasikan perkhidmatan sivik dan perkhidmatan sivik ini adalah fungsi yang selalu dilupakan dalam keghairahan parti mengekalkan kuasa dan meluaskan pengaruh.

Mohamed Khaled berkata: "Ia telah dikesampingkan kerana kita selesa dengan kuasa. Pada kita, Umno adalah kerajaan dan kerajaan adalah Umno. Kesannya, komponen 'civic service' sangat diabaikan dalam Umno yang semakin berusia."

PROSES PELAKSANAAN CACAT

Beberapa pengundi muda pula rata-ratanya berpandangan bahawa dasar semasa berhubung pendidikan, ekonomi dan sosial yang dilaksanakan Umno setakat ini baik namun ia 'dicacatkan' ketika proses pelaksanaannya.

Pemuda dari Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Zuraimi, 32, berkata perjuangan Umno yang sebelum ini berpaksikan kepada Melayu dan Islam, juga sudah semakin luntur dan hanyut ditelan zaman.

"Saya tidak benci Umno... cuma antara punca orang benci kepada Umno adalah tindakan sesetengah kumpulan pelaksana dasar baik di peringkat Umno atau pun kerajaan yang penuh dengan kerenah birokrasi, selain ada juga yang mengamalkan rasuah," katanya kepada Bernama.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Asyraf, 30, pula berpandangan Umno semakin 'layu' dalam soal menjaga kebajikan orang Melayu seperti isu perumahan dan pekerjaan.




0 comments:

share2