Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 22, 2014

MALAYSIA MENGUKIR NAMA DI KAZAKHSTAN



ASTANA - Keterbukaan Malaysia terhadap kepelbagaian budaya dan langkah ke arah mengekalkan ekonomi yang mampan serta amalan tadbir urus yang baik, telah menyumbang kepada pembentukannya sebagai model contoh kepada negara lain, termasuk Kazakhstan.

Kazakhstan ternyata kagum dengan cerita-cerita kejayaan Malaysia dan berminat untuk belajar mengenai amalan terbaik dalam negara dan pengalaman negara dalam pelbagai bidang.

Hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara terjalin erat sejak 1992, hasil lawatan rasmi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev ke negara masing-masing.

Hubungan antara kedua-dua negara menjadi semakin kukuh pada Mei tahun ini apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat lawatan rasmi ke Kazakhstan dan selepas pertemuan empat mata dengan Nazarbayev, Kazakhstan mengumumkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara model yang dicontohinya dalam rancangan pembangunan negara berkenaan.

MALAYSIA, NEGARA MODEL

Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kazakhstan, Erlan Idrissov berkata negara republik Asia Tengah ini menganggap Malaysia sebagai rakan kongsi utama di Asia Tenggara, yang dengannya ia menjalin dialog politik, serta perdagangan dan kerjasama ekonomi yang berkembang lebih baik.

Beliau berkata negaranya memandang tinggi terhadap Malaysia yang berperanan sebagai model dalam membangun dan memodenkan ekonomi, di samping peningkatan bidang tadbir urus sektor awam, pendidikan dan pelaburan modal insan.

"Kami sangat menghormati pertumbuhan ekonomi Malaysia dan kita sedang mengkaji bagaimana negara mencapainya. Kami mahu memberi tumpuan kepada pengalaman Malaysia kerana ia berguna untuk pembangunan Kazakhstan," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Merujuk masyarakat berbilang kaum di Malaysia, Idrissov berkata negara yang majoritinya beragama Islam ini merupakan contoh yang baik bagaimana pelbagai masyarakat boleh hidup bersama secara damai dan didasari kepercayaan.

"Bagi Malaysia, mengekalkan kestabilan dan keharmonian etnik merupakan satu daripada keutamaannya... kami sangat berasa sukacita dan kami ingin berkongsi prinsip-prinsip sejagat masyarakat berbilang kaum dan agama," katanya.

PILIHAN DESTINASI MELANJUTKAN PELAJARAN

Idrissov berkata Malaysia kini menjadi destinasi yang digemari penuntut Kazakhstan untuk melanjutkan pengajian tinggi mereka atau mengikuti kursus jangka pendek di luar negara.

Beliau berkata universiti awam dan swasta di Malaysia tidak hanya menawarkan pendidikan tinggi yang berkualiti, tetapi juga mengenakan yuran lebih rendah berbanding dengan negara-negara lain.

Persamaan dalam budaya dan masyarakat mereka adalah antara sebab-sebab utama mengapa hampir 1,700 penuntut Kazakhstan memilih untuk belajar di Malaysia, kata beliau, sambil menambah kata bahawa pelajar juga menjadi "jambatan persahabatan" antara kedua-dua negara-negara, yang secara tidak langsung membantu memupuk hubungan lebih kukuh.

"Ini merupakan satu angka yang baik dan jumlah itu boleh meningkat. Hakikatnya, bilangan penuntut kami (Kazakhstan) yang belajar di Malaysia adalah hampir setanding dengan Amerika Syarikat di mana kami mempunyai kira-kira 2,000 pelajar di negara itu," katanya.

Menurut Iddrisov institusi pengajian tinggi di Malaysia pada suatu masa nanti mungkin turut dipelawa menubuhkan kampus di Kazakhstan dan mengendalikan program akademik bersama.



0 comments:

share2