Kuantan - Pendapatan lumayan mencecah RM200 semalam hasil ‘tip’ menemani pelanggan ‘minum’ mendorong tiga wanita warga Thailand masuk dan bekerja di sebuah restoran di sini walaupun tanpa dokumen perjalanan sah sejak lima bulan lalu.
Bagaimana pun khidmat ditawarkan untuk menemani pelanggan minum sehingga mabuk berakhir apabila mereka ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah restoran di Jalan Tun Ismail, di sini, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, tiga wanita terbabit berusia 20 hingga 30 tahun ditahan ketika mereka sedang leka melayan karenah pelanggan tanpa menyedari kehadiran anggota polis.
Serbuan diketuai Inspektor R Nirmala Dewi daripada Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bersama anggotanya.
Pegawai Turus D7, Asisten Superintendan Azlihan Ishak berkata, tiga wanita terbabit gagal membolos diri apabila dikepung menyebabkan suasana menjadi kecoh dan kelam kabut ketika serbuan dilakukan.
Menurutnya, kehadiran anggota polis pada mulanya disangka pelanggan bagaimana pun selepas pegawai dan anggota memperkenalkan diri, mereka agak terkejut dan cuba lari namun gagal.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka dipercayai masuk ke negara ini secara haram kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan pasport,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Azlihan berkata, wanita terbabit mengakui sudah lima bulan bekerja di restoran terbabit dan mereka disediakan tempat tinggal di sebuah rumah sewa di sini.
“Siasatan awal mendapati, tiga wanita terbabit menerima ‘tip’ untuk menemani pelanggan minum arak namun jumlahnya bergantung kepada pelanggan.
“Bagaimanapun kita percaya, mereka mampu memperoleh pendapatan mencecah RM200 satu malam hasil ‘tip’ dari pelanggan,” katanya.
Menurutnya, polis turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dipercayai penjaga restoran itu untuk siasatan lanjut.
“Kesemua mereka ditahan sebelum dibawa ke IPK untuk membantu siasatan,” katanya.
Katanya, mereka kini ditahan di Lokap Tahanan Pusat di Indera Mahkota, di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 55 (b) dan Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1953.
0 comments:
Post a Comment