Johor Bahru - Seorang ibu merayu anaknya pulang ke pangkuan keluarga selepas menghilangkan diri ketika ke tempat kerja di sebuah pasaraya di Taman Universiti, di sini, 1 November lalu.
Teh Bo Heng, 49, berkata, anaknya, Lenny The, 20, keluar seperti biasa dari rumah di Jalan Kemuliaan 8 Taman Universiti, Skudai, untuk ke tempat kerjanya kira-kira jam 9 pagi tanpa menunjukkan sebarang perubahan sikap.
Bagaimanapun menurutnya, dia terkejut sebaik menemui sepucuk surat tertulis Lenny keluar rumah tanpa paksaan sesiapa untuk membina hidup baharu ketika mengemas bilik anaknya sekitar jam 5.30 petang hari yang sama.
“Saya amat terkejut dia memeluk agama Islam kerana sebelum ini kami bukan sahaja tidak pernah bergaduh atau berlainan pendapat mengenai mana-mana anutan agama.
“Cuma yang saya lihat dia memang gemar membaca buku-buku berkaitan pelbagai agama,” katanya pada sidang media di Pejabat Adun Stulang, di sini, semalam.
Bo Heng berkata, dia juga bimbang Lenny terpengaruh dan tertipu dengan seorang lelaki yang dikenalinya untuk membantu menguruskan visa dua minggu sebelum anaknya hilang.
Menurutnya, lebih membuatkan hatinya sedih apabila adik Lenny kerap bertanya mengenai kakaknya kerana masing-masing rapat antara satu sama lain dan Lenny juga begitu menyayangi adiknya.
“Saya begitu bimbang dia tertipu kerana dua minggu sebelum Lenny hilang, kami mengenali seorang lelaki yang ingin membantu menguruskan visa dan ada meminta ingin membawa Lenny pergi, tapi saya tidak izinkan kerana lelaki itu sudah beristeri.
“Kalau ada sesiapa melihat anak saya, tolong minta dia hubungi saya dan kembali kepada keluarga. Saya sedia menerima dia walaupun sudah memeluk agam Islam dan jangan menghilangkan diri kerana kami sangat merinduinya.
“Saya rayu simpati orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Lenny supaya menghubungi Wakil Khas Ahli Parlimen Gelang Patah, Ng Siam Luang 016-7386276 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
0 comments:
Post a Comment