Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 15, 2014

BENTONG : KES DEMAM DENGGI TERUS MENINGKAT




Peningkatan jumlah mangsa demam denggi terus membimbangkan masyarakat apabila sebanyak 44 kes dilaporkan di daerah ini sehingga kelmarin.

Ahli Parlimen, Datuk Sri Liow Tiong Lai berkata, tidak hanya daerah ini, malah seluruh negara mencatatkan peningkatan tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

“Pada tahun lalu, 563 kes demam Denggi dicatatkan berbanding tahun ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,586 kes.

“Peningkatan jumlah kes demam Denggi ini terlalu ketara justeru kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi melaksanakan kempen bagi mencegah penyakit terbabit dari terus berleluasa,” katanya.

Beliau juga berharap agar masyarakat terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani masalah yang boleh mengancam nyawa terbabit.

Dalam pada itu, 15 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Cina, Combi Desa Damai dan Combi Lurah Bilut menyertai Kempen Perdana Membasmi Nyamuk Aedes peringkat Daerah di SKJ (C) Khai Mun Repas, di sini Ahad lalu.

Tiong Lai turut mengingatkan agar usaha membasmi nyamuk Aedes terbabit dilakukan secara berterusan tanpa perlu menanti tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.

“Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan mengambil langkah awal bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes dan usaha ini perlu dilakukan secara berterusan dan bukan hanya ketika kempen dijalankan sahaja,” katanya.




0 comments:

share2