Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 15, 2014

KUANTAN : MAUT LANGGAR TAYAR LORI

Mangsa yang tercampak jatuh ke atas jalan selepas terlanggar tayar lori tercabut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.




Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditunggang terlanggar tayar sebuah lori treler yang tercabut di Kilometer 10, Jalan Pintasan Kuantan di sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10,30 malam itu, mangsa, Mohd Amran Asparuddin, 25 dari Kampung Peramu di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Deputi Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Pelabuhan menghala ke Kuantan dipercayai untuk pulang ke rumah selepas selesai bertugas di sebuah kilang di Gebeng.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa gagal mengelak sebuah tayar lori treler yang tercabut dan tiba-tiba bergolek masuk ke laluannya.

“Akibat kejadian, mangsa tercampak jatuh ke atas jalan manakala tayar terbabit tergolek memasuki longkang berhampiran.

“Lori treler yang sarat membawa muatan bijih besi itu dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pelabuhan dan ketika sampai di lokasi, tayar belakangnya mengalami kerosakan sebelum tercabut,” katanya.

Mohd Noor berkata, selepas menyedari tayar lorinya bermasalah, pemandu berusia 43 tahun berasal dari Kampung Luit Maran memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.

“Lelaki itu menyedari tayar lorinya bergolek ke seberang jalan dan dilanggar sebuah motosikal menyebabkan penunggang terjatuh dan terbaring di atas jalan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan.

“Punca sebenar kemalangan meragut nyawa penunggang itu masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.







0 comments:

share2